MUHAMMAD Arsyad muncul juara 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, semalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
MUHAMMAD Arsyad muncul juara 100m Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, semalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan pelari pecut lelaki negara kini berada di landasan tepat untuk memecahkan rekod kebangsaan di temasya Sukan Asia Hangzhou apabila mendominasi kedudukan podium pada Kejohanan Olahraga Terbuka Jabar di Jawa Barat, Indonesia, semalam.

Muhammad Arsyad Md Saat yang baru pulih daripada kecederaan dialaminya ketika temasya Sukan Sea, Kemboja lalu membuktikan dia kini berada di prestasi terbaik apabila memenangi pingat emas pada final acara 100 meter (m) dengan catatan 10.38 saat (s).

Pingat perak diraih rakan senegara, Jonathan Nyepa kedua (10.55s) manakala Khairul Hafiz Jantan ketiga (10.57s).

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, ketika dihubungi berkata, dia berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya di Terbuka Jabar dan percaya mereka sudah bersedia untuk berentap di Sukan Asia.

"Pertama sekali saya bersyukur dengan pencapaian diraih atlet yang bertanding di sini (Terbuka Jabar). Pencapaian ini adalah penanda aras mengenai persiapan atlet pecut sebelum ke Sukan Asia.

"Insya-Allah sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100m di landasan yang tepat. Jika dapat pingat ia dianggap sebagai bonus," katanya.

Tiga pelari berkenaan akan berganding bersama pemegang rekod kebangsaan 100m yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Fahmi, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 4x100m.

Rekod kebangsaan acara itu ketika ini dipegang kuartet yang dibarisi Azeem, Arsyad, Haiqal dan Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan 39.09s yang dilakukan ketika Sukan Sea Hanoi 2022.

Sementara itu, pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias berjaya meraih perak dalam acara final 100m dengan catatan 11.99s.

Azreen dijadualkan akan beraksi di Sukan Asia dalam acara 4x100m bersama Zaidatul Husniah Zulkifli, Shereen Samson Vallabuoy, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling.

Sukan Asia Hangzhou akan membuka tirai saingannya bermula dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 3:53 PM