KUARTET 4x100m UPM berjaya meraih emas walaupun tempoh persediaan singkat.
KUARTET 4x100m UPM berjaya meraih emas walaupun tempoh persediaan singkat.
Affan Rostam


Tanjung Malim: Persediaan saat akhir dilakukan kuartet 4x100 meter (m) lelaki dan wanita dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menjadi masalah untuk mereka meraih pingat emas temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.

Gandingan secara 'tiba-tiba' bagi kuartet lelaki UPM ternyata berhasil apabila mereka menggungguli acara berlangsung di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

UPM dibarisi Andre Anura Anuar (pelari pertama), Muhammad Zulfiqar Ismail (pelari kedua), Benedict Ian Gawok (pelari ketiga) dan Mohd Rizzua Haizad Muhamad (pelari keempat) berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 42.02 saat (s).

Pingat perak diraih kuartet dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan catatan 42.17s dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menamatkan saingan di tempat ketiga selepas merekodkan 43.26s.

Salah seorang pelarinya, Muhammad Zulfiqar berkata, kejayaan mereka hasil gandingan dan persefahaman baik yang berjaya dibentuk biarpun dalam tempoh singkat.

"Walaupun pasukan ini pertama kali dibentuk, tetapi saya sangat berpuas hati dengan prestasi semua pelari lain. Sebenarnya kami tak pernah berlatih bersama sebelum ini disebabkan gandingan ini dibentuk betul-betul sebelum acara ini bermula.

"Bagaimanapun, semua dapat lakukan yang terbaik dan berjaya hadiahkan satu pingat emas buat UPM," katanya kepada media ketika ditemui semasa majlis penyampaian pingat di Stadium UPSI, petang tadi.

Sementara itu, kuartet wanita UPM yang dibarisi Mandy Goh Li, Darshini K Murugan, Nur Fatihah dan Ng May Xin Winnie berjaya mengesahkan emas buat mereka dengan catatan masa 50.00s.

Pingat perak milik kuartet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan catatan masa 50.05s dan gangsa diraih UPSI, 53.75s.

Setakat ini, UPM cemerlang di arena trek dan balapan SUKIPT 2022 apabila berjaya mengutip enam daripada 11 emas yang dipertandingkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 9:29 PM