JELLSON (kiri) dan Hanis Nazirul ketika beraksi dalam acara 10m platform seirama. FOTO Bernama
JELLSON (kiri) dan Hanis Nazirul ketika beraksi dalam acara 10m platform seirama. FOTO Bernama
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Hasrat pemenang pingat emas Sukan SEA 2021, Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya Surya mencipta kejutan bagi acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Sukan Komanwel 2022 di sini, malam tadi, tidak kesampaian.

Pada saingan final di Pusat Akuatik Sandwell itu, mereka hanya sekadar mampu menduduki tunggu tempat kelima daripada enam peserta menerusi kutipan 365.64 mata.

Ketika muncul juara di Hanoi pada Mei lalu, gandingan Jellson-Hanis itu berjaya merakamkan 345.93 mata sekali gus mencatatkan peningkatan di sini.

Acara ini dimenangi gandingan Matthew Lee dan Noah Oliver dari England dengan himpunan 429.78 mata manakala perak milik wakil Kanada, Rylan Mackenzie Wiens-Nathan Milner Zsombor Murray dengan catatan 413.85 mata.

Gangsa pula dimenangi atlet Australia, Domonic Paul William Bedggod dan Cassiel Emmanuel Rousseau dengan himpunan 412.56 mata.

Sementara itu, dua lagi wakil negara, Kimberly Bong Qian Ping dan Ong Ker Ying masing-masing menduduki tangga kedua terakhir dan terakhir acara 1 meter papan anjal wanita.

Kimberly hanya mampu mengumpulkan 225.00 mata manakala Ker Ying menghimpunkan 206.80 mata.

Seramai 12 peserta bersaing dalam acara final ini.

Emas ini dimenangi peserta Kanada, Mia Jolie Doucet Vallee dengan mengumpul 291.85 mata manakala perak milik wakil Australia, Mae O'Brien (279.60 mata) dan gangsa oleh England, Amy Elisabeth Rollinson (272.00).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 2:42 PM