GANDINGAN Pandelela (kanan) dan Nur Dhabitah jadi sandaran pingat emas acara 10m terjun seirama di Birmingham 2022. FOTO ARKIB NSTP
GANDINGAN Pandelela (kanan) dan Nur Dhabitah jadi sandaran pingat emas acara 10m terjun seirama di Birmingham 2022. FOTO ARKIB NSTP
Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Malaysia berpeluang besar memenangi pingat termasuk emas bagi acara 10 meter (m) platform wanita sama ada individu dan seirama pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2020, kata pengurus pasukan terjun negara, Datuk Leong Mun Yee.

Wakil negara bagi acara individu adalah Datuk Pandelela Rinong manakala seirama pula gandingan beliau dengan Nur Dhabitah Sabri.

Sukan terjun antara yang menjadi sandaran kontinjen negara meraih pingat emas pada temasya kali ini dengan Pandelela dan Nur Dhabitah menjadi taruhan utama.

Di Birmingham 2022, kontinjen Malaysia meletakkan sasaran memenangi enam emas dengan angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting turut menjadi sandaran.

Pada Kejohanan Dunia FINA di Budapest, Hungary, baru-baru ini, Pandelela berjaya memenangi gangsa bagi kategori individu dan pingat sama ketika bergandingan dengan Nur Dhabitah bagi acara seirama.

Mun Yee yang juga bekas penerjun negara melahirkan keyakinan besar terhadap kemampuan dua atlet terbabit pada temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

"Acara 10m platform wanita sama ada individu atau seirama berpeluang besar untuk menang pingat," katanya ketika dihubungi sebelum berlepas dari Kuala Lumpur ke sini, hari ini.

Malaysia tampil di Birmingham 2022 sebagai juara bertahan dalam acara 10m platform seirama selepas Pandelela dan Cheong Jun Hoong menyumbang emas di Gold Coast, empat tahun lalu.

Mun Yee mengakui tekanan buat pasukannya untuk memenangi pingat pada temasya di sini, tetap ada.

"Tekanan itu mesti ada dan kita memang ada sasaran pingat untuk dicapai di Birmingham nanti.

"Apa-apa pun kita akan cuba yang terbaik. Setakat ini, persiapan pasukan bagi menghadapi Sukan Komanwel ini berjalan lancar dan semua atlet berada dalam semangat tinggi serta sudah bersedia," katanya.

Pada penyertaan terakhirnya di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, gandingan Mun Yee bersama Nur Dhabitah dalam acara 10m platform seirama wanita menghadiahkan gangsa buat negara.

Mun Yee turut berharap semua 11 atlet terjun negara berada dalam keadaan baik sepanjang bersaing ada temasya kali ini dan tidak berdepan sebarang isu.

Katanya, ini penting bagi membolehkan mereka dapat fokus untuk menghadapi pertandingan, sekali gus mampu mempamerkan persembahan terbaik.

"Pada kejohanan dunia baru-baru ini, ada beberapa penerjun kita yang menghadapi masalah kesihatan sebaik saja tiba di Budapest.

"Kali ini kita berharap semua berada dalam okey," katanya.

Selain Pandelela dan Nur Dhabitah, skuad terjun negara ke Birmingham 2022 diperkuatkan Muhammad Syafiq Puteh, Ooi Tze Liang, Gabriel Gilbert Daim, Chew Yi Wei, Jellson Jabillin, Bertrand Rhodict anak Lises, Hanis Nazirul Jaya Surya, Ong Ker Ying, Kimberly Bong Qian Ping dan Ng Yan Yee.

Mereka semua dilatih Li Rui dan Li Junbai.

Saingan sukan terjun dijadual bermula 4 Ogos ini dengan saingan berlangsung di Pusat Akuatik Sandwell, Birmingham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 2:28 PM