AKSI Jackie pada peringkat final. FOTO AP
AKSI Jackie pada peringkat final. FOTO AP
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer dan Grace Wong Xiu Mei seperti dijangka tidak mampu memberi sebarang impak pada aksi final Sukan Komanwel 2022 di sini, semalam.

Diantara mereka berdua ini, Jackie paling tidak bernasib baik apabila menduduki tempat terakhir daripada 14 peserta selepas hanya dapat melakukan balingan terbaik sejauh 61.40 meter (m).

Rekod balingan terbaik Jackie yang juga rekod kebangsaan adalah 68.22m yang dilakar pada 2019.

Pingat emas acara ini dimenangi atlet England, Nick Miller yang mencatatkan balingan sejauh 76.43m manakala perak milik Ethan Katzberg dari Kanada (76.36m). Gangsa pula berpihak kepada atlet Cyprus, Alexandros Poursanidis dengan balingan sejauh 73.97m.

Sementara itu, Grace yang berentap pada final kategori wanita hanya mampu menduduki tempat ke-10 daripada 12 atlet selepas melakukan balingan sejauh 61.30 mata.

Rekod balingan atlet berasal dari Sarikei, Sarawak ini adalah 62.48m.

Acara ini dimenangi atlet Kanada, Camryn Rogers dengan catatan 74.08m manakala Julia Ratcliffe dari New Zealand (69.63m) dan gangsa oleh wakil Kanada, Jillian Weir (67.35m).

Pengurus pasukan skuad olahraga negara, M Iyaru sebelum ini berkata pihaknya gembira dengan kejayaan kedua-dua atlet ini dapat berentap di final dan berharap mereka dapat mencipta rekod baharu peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 4:12 PM