SYAFIQ yakin mampu meraih pingat sekurang-kurangnya empat emas untuk kontinjen Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
SYAFIQ yakin mampu meraih pingat sekurang-kurangnya empat emas untuk kontinjen Pahang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Empat pingat emas acara menjadi taruhan atlet menembak Pahang Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza pada saingan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur, September depan.

Kali kedua di pentas Sukma atlet kebangsaan kelahiran Kuantan itu akan berjuang dalam empat acara 10 dan 50 meter individu dan berpasukan air pistol.

"Saya yakin mampu meraih pingat sekurang-kurangnya empat emas untuk kontinjen Pahang pada Sukma kali ini walaupun saingan diterima daripada beberapa pencabar dijangka sengit.

"Dengan pengalaman di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tidak mustahil cita-cita meletakkan pasukan menembak Tok Gajah pada landasan sebenar menjadi kenyataan," katanya, di sini hari ini.

Syafiq yang berjaya membawa pulang satu pingat emas pada 2018 berkata, pencapaian pasukan Pahang pada Sukma Perak begitu membanggakan apabila meraih sembilan pingat emas, enam perak dan tiga gangsa untuk muncul juara keseluruhan acara menembak.

Wan Muhamad Syafiq berkata, walaupun prestasi lalu agak sukar dicapai namun tidak mustahil pencapaian berkenaan dapat dilakukan.

Katanya, untuk mencipta kejayaan berganda semua atlet menembak perlu memberi sepenuh tumpuan dan berusaha memberi persembahan yang terbaik.

"Saya difahamkan beberapa atlet yang beraksi pada Sukma Perak masih ada dalam pasukan Pahang, kelebihan berkenaan mampu melonjakkan prestasi keseluruhan pasukan.

"Kini semua atlet mengikuti latihan dalam usaha membaiki kelemahan seterusnya membentuk persefahaman dan keyakinan diri," katanya yang mengikuti latihan di Majlis Sukan Negara (MSN).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 6:17 PM