RAHIMI Sulaiman buru pingat emas Sukma Sarawak 2024. FOTO MOHD RAFI MAMAT
RAHIMI Sulaiman buru pingat emas Sukma Sarawak 2024. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Rompin: Atlet angkat berat Pahang, Rahimi Sulaiman bertekad untuk menyumbang pingat emas untuk kontijen Pahang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Kali kedua beraksi dipentas Sukma, badang muda kelahiran Rompin itu akan beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg) acara snatch. Pada Sukma Kuala Lumpur dia gagal menyerlah selepas dikecewakan atlet Perlis, Terengganu dan Selangor.

Rahimi berkata, pada Sukma Sarawak kali ini dia begitu berhajat untuk melakar kejayaan tertinggi selepas mengadakan persiapan lebih dua tahun.

Katanya, pengalaman bersaing dan merangkul pingat emas pada pertandingan angkat berat kebangsaan tahun lalu di Sarawak, menjadi bekalan untuknya mengulanginya pada Sukma kali ini.

"Saya meletakan impian untuk membuat angkatan lebih 100kg dalam acara snatch, hanya itu sahaja yang akan memberi peluang kepada saya untuk meraih pingat emas yang diharapkan.

"Saya percaya saingan daripada atlet Perlis, Terengganu dan Selangor sekali lagi akan diterima. Siapa yang lebih gagah membuat angkatan, mereka akan pulang dengan kilauan pingat emas," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, pembabitannya dalam sukan angkat berat kini memasuki empat tahun, impian yang ingin dicapai diperingkat kebangsaan ialah untuk mendapat pingat Sukma sebelum meninggalkan kejohanan dwi tahunan itu.

Rahimi menambah, dia kini menjalani latihan kira-kira tujuh jam sehari di bawah bimbingan jurulatih, Zainudin Joseph di pusat latihan angkat berat di Rompin bersama 13 atlet angkat berat lain.

Katanya, peluang dia dan atlet dari Perlis, Terengganu dan Selangor meraih pingat emas dilihat seimbang, masing-masing ada peluang meraih pingat emas, perak dan gangsa.

"Siapa yang melakukan kesilapan dengan kata lain tidak mampu melakukan angkatan dengan sempurna, mereka akan kecewa walaupun diatas kertas dia mampu menyerlah.

"Justeru, bagi memastikan impian menjadi kenyataan saya lebih berminat dengan tidak terlalu yakin. Dengan kudrat yang ada saya akan berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan harapan diletakkan dapat dilakukan," katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.

Sukma 2024 di Sarawak dijadualkan diadakan pada 17 hingga 24 Ogos dan aksi Sukan Pra Sukma akan diadakan pada 21 hingga 28 September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:39 PM