PENEMBAK Wilayah Persekutuan, Muhammad Hakimi Zulkifli memenangi pingat emas acara 50 meter pistol lelaki di Lapang Sasar Nasional Subang, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PENEMBAK Wilayah Persekutuan, Muhammad Hakimi Zulkifli memenangi pingat emas acara 50 meter pistol lelaki di Lapang Sasar Nasional Subang, hari ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
BERNAMA

Petaling Jaya: Anak seorang anggota polis, Muhammad Hakimi Zulkifli yang sering mengikuti bapanya ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) sejak berusia 12 tahun, meraih emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dalam acara 50 meter (m) pistol lelaki, hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata, minat terhadap sukan menembak tercetus sejak kecil lagi apabila selalu mengikut bapanya Zulkifli Omar, 61, ke lapang sasar.

Muhammad Hakimi yang mewakili Wilayah Persekutuan mengatasi dua atlet Pahang selepas mengumpulkan 529 untuk menjuarai acara berkenaan di Lapang Sasar Nasional Subang di sini.

Beliau berpuas hati apabila menumpaskan cabaran daripada Cheah Zen Hong (527 mata) dan Wan Muhamad Syafiq Wan Mustaza (526), yang masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

"Saya memang tak jangka dapat pingat emas sebab tembakan saya teruk dan fikir memang ada atlet dari Pahang yang boleh potong saya, tapi Alhamdulillah dapat apa yang diinginkan selama ini.

"Saya rasa pengorbanan saya yang perlu berjauhan dengan keluarga untuk berlatih di Cheras berbaloi," katanya kepada pemberita, hari ini.

Bagi acara 50m pistol berkumpulan lelaki, Pahang merangkul emas dengan membidik 1,570 mata keseluruhan, hasil tembakan Cheah, Wan Muhammad Syafiq dan Muhammad Adib Abu Hassan.

Perak yang diwakili Megat Muhammad Aliff Daniel, Ilmi Azri Abdul Razak dan Muhammad Daniel Hail meraih tempat kedua dengan 1,544 mata.

Wilayah Persekutuan pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 1,530 mata menerusi Muhammad Hakimi, Abdul Haikal Abdul Aziz dan Muhammad Amir Safwan Mat Zuki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 7:10 PM