MARSYAHIRAZAWATI meletakkan harapan yang begitu tinggi untuk membawa pulang pingat emas. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MARSYAHIRAZAWATI meletakkan harapan yang begitu tinggi untuk membawa pulang pingat emas. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pengalaman lebih tiga dalam sukan angkat berat peringkat kebangsaan menjadi sandaran buat, Marsyahirazawati Mohd Rais untuk memburu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Peluang kedua beraksi di pentas Sukma, badang muda Orang Asli kelahiran Tasik Chini, Pekan itu akan beraksi dalam kategori 71 kilogram (kg) acara snatch.

Pada Sukma Kuala Lumpur dia gagal menyerlah selepas dikecewakan beberapa atlet berpengalaman.

Menurut Marsyahirazawati, dia meletakkan harapan yang begitu tinggi untuk membawa pulang pingat emas untuk kontinjen Pahang bagi menebus kekecewaan pada Sukma Kuala Lumpur.

Katanya, walaupun bukan perkara mudah meraih pingat emas namun dengan pengalaman dan latihan sepanjang tahun tidak mustahil dia akan muncul atlet Orang Asli pertama di negara ini meraih pingat emas Sukma.

"Saya meletakkan impian untuk membuat angkatan lebih 100kg dalam acara snatch, hanya itu sahaja yang akan memberi peluang kepada saya untuk meraih pingat emas yang diharapkan di pentas Sukma.

"Saingan pastinya datang daripada atlet dari Perlis, Terengganu dan Selangor yang sebelum begitu menyerlah," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Marsyahirazawati menambah, dia kini menjalani latihan kira-kira tujuh jam sehari dibawah bimbingan jurulatih, Zainudin Joseph di pusat latihan angkat berat di Rompin bersama 13 atlet angkat berat lain.

Katanya, sebagai atlet senior dia perlu membuktikan kebolehan dan keupayaan sebenar di pentas Sukma sebelum melangkah lebih jauh mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, walaupun bukan perkara mudah untuk meraih pingat emas, namun sebagai atlet dia perlu meletakkan impian yang tinggi. Dengan cara itu kesungguhan memburu impian menjadi lebih kuat dan bersemangat.

"Dalam sukan angkat berat selain kekuatan mengangkat bebanan, percaturan ketika pertandingan berlangsung juga penting. Tersilap langkah kita akan kecewa.

"Justeru, saya perlu sentiasa mendapat khidmat nasihat dan cadangan daripada jurulatih yang berpengalaman sepanjang pertandingan diadakan," katanya yang bercita-cita untuk mewakili negara suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 4:25 PM