ATLET lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin memenangi pingat emas di Stadium Nasional My Dinh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ATLET lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin memenangi pingat emas di Stadium Nasional My Dinh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Olahraga terus cemerlang selepas menyumbang dua emas di Sukan Sea Vietnam, hari ini, melalui jaguh lempar cakera lelaki, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet acara lompatan, Andre Anura Anuar.

Dua emas itu melengkapkan sasaran lima emas ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) walaupun masih ada beberapa acara akan dipertandingkan lagi esok termasuk lompat tinggi lelaki dan acara riben biru, 100 meter (m) lelaki dan wanita.

Irfan terus mempertahankan emas kelimanya selepas berjaya membuat lemparan sejauh 58.26m untuk membutirkan emas.

Meskipun tidak berjaya memecah rekod kebangsaan dengan catatan 62.55m yang dilakukan pada 2017, keputusan itu memadai untuk mengatasi lima peserta lain di Stadium Nasional My Dinh.

ANDRE Anura memenangi pingat emas dalam acara akhir lompat kijang di Stadium Nasional My Dinh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANDRE Anura memenangi pingat emas dalam acara akhir lompat kijang di Stadium Nasional My Dinh. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Pingat perak menjadi milik jaguh Thailand, Kiadpradid Srisai dengan catatan 51.18m manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina, William Morrission I Edward (50.44m).

"Syukur dapat mempertahankan pingat emas, tetapi saya kecewa kerana tidak dapat capai sasaran untuk pecah rekod peribadi di sini. Apapun, saya gembira berjaya raih emas di sini," katanya.

Sementara itu, Andre pula meraih emas selepas melakukan lompatan bergaya dengan catatan 16.51 meter dalam acara lompat kijang lelaki.

Lompatan itu menggagalkan hasrat atlet dari Filipina, Mark Harry Diones Aloto dan atlet tuan rumah, Tran Van Dien selepas masing-masing sekadar meraih perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:32 PM