ANDRE buru slot ke Budapest.
ANDRE buru slot ke Budapest.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas lompat kijang di Sukan Sea Kemboja, Andre Anura Anuar perlu kekal konsisten apabila turun beraksi dalam dua acara iaitu lompat jauh dan lompat kijang di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) yang akan bermula esok di Bangkok.

Menyedari akan hal itu, atlet kelahiran Sabah berusia 24 tahun itu mahu memastikan sekurang-kurangnya matlamat untuk mencatatkan rekod peribadi terbaik dapat dicapai.

Ini kerana peluang untuk meraih pingat tampak sukar dengan kehadiran atlet terbaik Asia.

"Matlamat saya kali ini perbaiki catatan terbaik dan ingin dapatkan slot ke Kejohanan Dunia di Budapest Ogos depan dalam acara lompat kijang.

"Tapi kali ini saya akan turut beraksi acara lompat jauh dan ia sedikit mencabar sebab sudah lama saya tidak turun dalam kedua-dua acara. Kali terakhir saya beraksi dalam kedua-dua acara itu di Sukan Sea Hanoi," katanya.

Namun Andre tetap optimis akan kemampuannya dan melihat dia mempunyai peluang dalam acara lompat kijang dengan dia perlu melakukan lompatan sejauh 16.60 meter (m) sekiranya ingin layak ke Kejohanan Dunia.

"Saya pernah lakukan lompatan jarak 16.60 m itu ketika Sukma (Sukan Malaysia) Kuala Lumpur tahun lalu tapi dibatalkan. Tapi sekarang ini saya ingin fokus untuk buat catatan terbaik peribadi iaitu mengatasi catatan yang saya lakukan di Sukan Sea Hanoi, 16.51m," katanya.

Dalam pada itu, Andre turut mengakui cabaran di Bangkok bukan mudah kerana dia akan berdepan atlet berpengalaman yang lain.

Antara atlet yang dijangka mencuri tumpuan adalah dari negara India, China dan juga Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 6:37 PM