AMIRUL akan beraksi di peringkat akhir. FOTO Agensi
AMIRUL akan beraksi di peringkat akhir. FOTO Agensi
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Beraksi secara 'solo' nyata tidak mengganggu konsentrasi atlet mendayung perseorangan lelaki negara apabila berjaya menempah satu slot ke peringkat akhir temasya Sukan Sea ke-31 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam ketika ini.

Mohamad Amirul Norhadi berjaya menduduki tangga keempat daripada enam pelumba pada pusingan awal petang semalam dengan catatan masa keseluruhan tujuh minit 24 saat bagi jarak 2000 meter (m) meninggalkan pelumba dari Thailand dan Kemboja dengan masing-masing berada di tangga kelima dan keenam.

Jurulatih mendayung negara, Norhadi Ishari tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan anak buahnya itu walaupun persediaan menghadapi temasya ini masih tidak mencukupi.

"Amirul ketika ini berjaya mendapatkan catatan masa pribadi terbaiknya dan ia adalah peningkatan dari Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia. Boleh kata ini adalah permulaan yang baik.

"Kalau tengok dalam pusingan awal semalam kita hanya beza empat saat sahaja dengan Filipina yang menduduki tangga ketiga. Jadi untuk final nanti kita akan ubah beberapa strategi untuk dapatkan gangsa sekurangnya.

"Kita bersyukur keadaan air dan angin dalam keadaan baik jadi ia tak mengganggu atlet semasa perlumbaan. Kita harapkan perkara yang sama semasa di peringkat akhir nanti," katanya semasa dihubungi.

Amirul bakal berentap di pentas akhir acara mendayung perseorangan lelaki bagi kategori 'Lightweight Men Single Scull' pada Sabtu ini bersama pelumba dari Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 2:26 PM