Keadaan muka,leher dan lidah  Muhammad Amirul Haiqal Muhammad Shahizan,13, yang dipotong ketika berusia lima tahun akibat mengidap penyakit cystic hygroma sejak lahir. FOTO Ihsan Pejabat Parlimen Jerai
Keadaan muka,leher dan lidah Muhammad Amirul Haiqal Muhammad Shahizan,13, yang dipotong ketika berusia lima tahun akibat mengidap penyakit cystic hygroma sejak lahir. FOTO Ihsan Pejabat Parlimen Jerai
Noorazura Abdul Rahman


Gurun: Remaja lelaki ini tidak mampu bertutur secara sempurna apabila lidahnya terpaksa dipotong kira-kira lapan tahun lalu akibat penyakit cystic hygroma dialaminya sejak kecil.

Berikutan itu, Muhammad Amirul Haiqal Muhammad Shahizan, 13, hanya memakan makanan lembut dan bubur nasi kerana mengalami bengkak di leher, manakala muka semakin membesar sejak dua bulan lalu.

Ibunya, Nor Azila Abdul Rahim, 34, berkata anak sulung daripada lima beradik itu dikesan mengidap penyakit berkenaan apabila dia mengalami sesak nafas selepas dua minggu dilahirkan.

"Amirul kemudian dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) lebih empat bulan dan doktor terpaksa membuat lubang di lehernya bagi membolehkan dia bernafas dan mengeluarkan kahak.

"Ketika usianya menjangkau lima tahun, penyakit dihidapi Amirul semakin serius apabila lidahnya terjelir dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mulut menyebabkan doktor terpaksa memotongnya bagi mengelak keadaan lebih teruk," katanya.

Nor Azila berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit yang tampil menghulurkan bantuan di rumah mereka di Kampung Sungai Badak, di sini, semalam.

Katanya, Amirul perlu melakukan rawatan susulan termasuk berjumpa doktor pakar di HSB setiap bulan.

"Amirul sebelum ini memegang kad orang kurang upaya (OKU), namun diambil kembali Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menghentikan bantuan bulanan RM500, bulan lalu.

"Saya tidak pasti mengapa, tetapi wang itu membantu saya dan suami, Muhammad Shahizan Mohd Shafei, 36, untuk menampung kos perubatan Amirul," katanya.

Katanya, pendapatan suaminya yang bekerja di pasar raya tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga tambahan pula dia baru saja melahirkan anak bongsu, empat bulan lalu.

"Keadaan bertambah sesak buat kami apabila elaun suami dipotong akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan gaji suami cukup-cukup makan sahaja bagi membeli barang keperluan keluarga.

"Amirul dan tiga adiknya masih bersekolah, malah perlu membayar sewa rumah menyebabkan kami kesempitan hidup ketika ini," katanya.

Sementara itu, jurucakap JKM berkata penamatan bantuan bulanan di atas nama Muhammad Shahizan dibuat selepas siasatan dibuat menerusi panggilan telefon, Januari lalu.

Menurutnya, bapanya mengaku mempunyai pendapatan RM1,600 sebulan, manakala keadaan Amirul juga bertambah baik apabila dia sudah mampu berjalan dan pergi ke sekolah.

Katanya, selain itu rawatan Amirul di HSB juga adalah percuma kerana dia menggunakan surat jaminan sekolah.

"Bantuan bulanan RM500 sebulan itu adalah untuk pesakit terlantar, jadi kita hantar surat untuk maklumkan penamatan bantuan pada April lalu.

"Bagaimanapun, JKM ada menerima panggilan daripada wakil Pejabat Parlimen Jerai memaklumkan kesihatan Amirul semakin merosot.

"Justeru, kita akan menghubungi keluarga ini semula untuk proses kemas kini maklumat dan menilai bantuan bulanan bersesuaian untuk mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nor Azila di talian 018-4696641.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 4:43 PM