AMIRULL meraih emas dalam acara lepas beramai-ramai lelaki elit. -FOTO MSN
AMIRULL meraih emas dalam acara lepas beramai-ramai lelaki elit. -FOTO MSN
Zulkarnain Azman


Sepang: Walaupun berbeza pasukan yang diwakili semasa menyertai pelbagai perlumbaan, namun bila ia membabitkan skuad kebangsaan pelumba basikal lebuh raya negara hanya ada satu misi iaitu mahu mengharumkan nama negara.

Perkara itu diakui sendiri pelumba negara Amirull Fakhruddin Mazuki yang mendedahkan rahsia dirinya meraih pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki pada Sukan Sea 2023 baru-baru ini.

Menurutnya, semua pelumba negara yang menyertai acara berkenaan mempunyai persefahaman yang tinggi dan saling bertolak ansur antara satu sama lain meskipun mewakili pasukan yang berbeza sebelum ini.

"Bila kita mewakili Malaysia soal perbezaan pasukan semua kita tolak ketepi sebab semua ada satu matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara. Jadi bila semua ada sefahaman yang sama, semua benda akan jadi mudah.

"Jadi kami semua tidak kisah siapa yang menang dan semua tahu tugas masing-masing. bila kita lihat salah seorang itu ada kelebihan kita akan cuba bantu mereka dan benda itu tidak jadi rumit," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Kemboja.

Sebelum ini pelumba kelab benua Terengganu Cycling Team (TSG) berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi Malaysia pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lalu dengan catatan masa 3 jam 22 minit 50 saat.

Lebih manis lagi kejayaan yang diraih Amirull itu hadir selepas terpaksa berpuas hati perak menerusi acara kriterium elit lelaki sehari sebelum acara acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

Dalam pada itu pelumba berusia 31 tahun itu mendedikasikan kedua-pingat yang dimenanginya pada temasya sukan Sea kali ini kepada kedua-dua anaknya yang berusia lima tahun dan setahun setengah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 1:58 PM