TRIO negara yang beraksi menerusi acara four 1000m wanita meraih perak. FOTO AUG
TRIO negara yang beraksi menerusi acara four 1000m wanita meraih perak. FOTO AUG
Syazwan Msar


Ubon Ratchathani: Kem mendayung negara menutup kempen Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 dengan meraih satu lagi pingat perak menerusi acara four 1000 meter (m) wanita.

Trio gandingan Nur Zarinah Zakaria, Nur Asyikin Mohd Azahari, Nur Najiha Zainal dan Nur Ratna Suani itu berjaya mencatat masa empat minit 6.03 saat (s) pada aksi final di Sisaket City kelmarin.

Jurulatih skuad mendayung AUG, Mohd Aizat Md Zaini berbangga dengan kejayaan anak buahnya walaupun pada asalnya merasakan pingat emas mampu menjadi milik mereka.

"Atlet Thailand ternyata mempunyai kelebihan dari segi saiz tubuh badan dan kekuatan serta teknik yang lebih baik.

"Perlumbaan 1000m agak sukar di ramal kerana jaraknya yang agak dekat. Namun, saya berpuas hati dengan pencapaian atlet kita yang berjaya meraih pingat perak mengalahkan Filipina.

"Catatan masa dicatatkan juga adalah lebih baik daripada ujian masa yang kami lakukan sebelum terbang ke Thailand," katanya.

Secara keseluruhan, skuad mendayung mencatat keputusan membanggakan apabila melepasi sasaran dua pingat perak ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi apabila meraih satu emas, dua perak dan dua gangsa untuk edisi ke-20 kali ini.

Emas kem mendayung diraih oleh pelajar Universiti Selangor, Mohamad Amirul Norhadi dalam acara lightweight scull individu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 5:47 PM