AMIRUL tetap konsisten dengan persiapannya. FOTO Ihsan Mohd Amirul Norhadi
AMIRUL tetap konsisten dengan persiapannya. FOTO Ihsan Mohd Amirul Norhadi
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Atlet mendayung negara sedikit pun tidak berasa gugup walaupun terpaksa menggalas tugas sebagai atlet tunggal yang mewakili negara bagi sukan ini dalam temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam.

Mohd Amirul Norhadi, 22, yang mula menceburi sukan ini secara profesional sejak 2016 tidak menjadikan situasi tersebut sebagai batu penghalang bagi dirinya menghadiahkan sesuatu untuk negara.

Akan tetapi, dia tetap konsisten dengan persiapannya selain menyifatkan ini adalah tanggungjawab besar dan menuntutnya mempamerkan aksi terbaik dalam temasya dwitahunan itu.

"Dalam mendayung ini saya sudah terbiasa bergerak seorang diri. Sejak dari awal penglibatan saya hanya sertai kategori individu sahaja.

"Walaupun tak ada rakan sepasukan tapi dengan pengalaman yang saya ada ia sedikit sebanyak membantu dalam memberi motivasi pada diri saya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Amirul beranggapan latihannya bagi Sukan Sea kali ini masih kurang mencukupi disebabkan beberapa kekangan sehingga proses latihan itu bermula lambat.

Namun menurutnya pengalaman serta momentum yang dimiliki ketika ini dia yakin mampu menghadirkan sekurangnya pingat gangsa buat negara.

"Setakat ini semua dalam keadaan baik, cuma proses latihan itu masih kurang memuaskan. Pada saya untuk dapatkan keputusan terbaik perlukan latihan dalam tempoh tiga ke empat bulan.

"Dalam bulan puasa baru ini pula kita terpaksa perlahankan sedikit latihan tapi apapun saya boleh kata momentum masih ada dan saya dalam keadaan baik.

"Dengan latihan yang saya dah buat, saya akan usahakan juga untuk dapatkan sekurangnya pingat gangsa. Itu yang saya rasa sesuai pada peringkat sekarang," katanya.

Ditanya berkenaan tentangan yang bakal dihadapinya semasa di sana, Amirul berkata dia sudah mengenali kebanyakan atlet negara lain jadi sedikit sebanyak membantunya mengetahui kelebihan dan kekurangan mereka.

Amirul yang mengambil bahagian dalam kategori lightweight berhasrat menebus kekecewaannya di Sukan Sea Manila, Filipina 2019 apabila dia tidak dapat bertanding ekoran kecederaan hamstring yang dialaminya sehari sebelum berlepas ke Manila.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 4:50 PM