MANSHAHAR Abdul Jalil
MANSHAHAR Abdul Jalil
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak lagi akan menghantar atlet 'tangkap muat' dalam usaha merealisasikan impian membawa pulang pingat untuk negara di temasya Sukan Sea kelak.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, ketika ini pihaknya akan mengenalpasti keupayaan setiap atlet terlebih dahulu sebelum nama mereka disenaraikan bagi menjalani latihan khas.

Beliau berkata, matlamat untuk membawa pulang 10 pingat emas pada temasya dwi tahunan itu dilihat mampu direalisasikan jika KOM berjaya menghasilkan atlet berkualiti dan mempunyai catatan rekod peribadi yang baik untuk mengharungi temasya terbabit.

"Untuk merealisasikan matlamat itu kita perlu berubah iaitu melihat kepada atlet mana yang boleh mencapai emas. Malah, atlet yang disasarkan perak sebelum ini pula kita akan cuba pastikan mereka membawa pulang emas untuk negara.

"Sudah tentu perlu ada perancangan khusus terutamanya melihat kepada pencapaian mereka ketika menyertai pertandingan di dalam dan luar negara kerana ia adalah sebagai kayu pengukur untuk menyertai kejohanan dwitahunan itu.

"Oleh itu, sokongan daripada semua pihak termasuklah Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara cukup penting bagi memastikan sasaran 10 emas dari acara olahraga dapat dicapai," katanya.

Mengikut rekod, temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam menyaksikan kem olahraga berjaya menepati sasaran apabila berjaya membawa pulang lima pingat emas untuk negara.

Namun, cabaran lebih besar menanti kem olahraga negara pada temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan apabila KOM apabila meletakkan sasaran untuk membawa pulang 10 pingat emas.

Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata beliau yakin matlamat itu mampu dicapai berdasarkan potensi atlet negara yang ada ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 2:20 PM