KOM disaran menilai semula sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan di Sukan Sea Kemboja. FOTO Ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia
KOM disaran menilai semula sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan di Sukan Sea Kemboja. FOTO Ihsan Kesatuan Olahraga Malaysia
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih mengunci mulut sama ada sasaran 10 pingat emas di Sukan Sea Kemboja sebelum ini akan disemak semula atau dikekalkan.

Bagaimanapun naib presiden KOM, Datuk Mark William Ling memberi bayangan sasaran sebenar kontinjen olahraga dijangka akan diketahui selepas semua atlet yang disenarai pendek sebelum ini selesai menjalani kejohanan yang dirancang oleh pihaknya sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Adakah anda rasa bila anda letakkan sasaran 10 pingat emas, mungkin anda perlu memerlukan masa untuk menilainya menerusi pertandingan bagi mengetahui kedudukan anda?

"Adakah kejohanan sudah habis? Tidak bukan?" katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis KOM di ibu kota semalam.

Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Sea Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali mengingatkan persatuan sukan yang terbabit dengan temasya berkenaan untuk meletakkan sasaran pingat yang realistik.

Beliau berkata, sasaran pingat yang diberikan kepada pihaknya perlulah sesuatu yang boleh dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet, bukannya sasaran yang 'syok sendiri' atau sekadar untuk memuaskan mana-mana pihak.

Malah bekas jaguh pecut negara, Nazmizan Mohamad turut menyarankan KOM supaya menilai semula sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan di Sukan Sea Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Jelas Nazmizan sasaran yang dibuat seharusnya berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan terkini atlet negara di peringkat Asia Tenggara.

Untuk rekod, pada Sukan Sea Hanoi, tahun lalu, skuad olahraga negara berjaya menepati sasaran lima emas selain turut membawa pulang tiga perak dan lapan gangsa.

Di Kemboja kali ini, Nazmizan berpandangan hanya jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, Andre Anura Anuar (lompat kijang) dan Jackie Wong (baling tukul besi) yang dilihat berada di landasan tepat untuk memenangi emas berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan mereka di Asia Tenggara.

Ketiga-tiga atlet berkenaan adalah penyumbang emas Malaysia di Hanoi selain atlet baling tukul wanita, Grace Wong dan Nor Sarah Adi (lompat bergalah wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 7:20 PM