AKSI Naomi ketika bertemu Alison Riske. FOTO AFP
AKSI Naomi ketika bertemu Alison Riske. FOTO AFP
AFP

Miami: Naomi Osaka akan bertemu pemain Amerika Syarikat (AS), Danielle Collins untuk merebut tempat ke separuh akhir Terbuka Miami selepas bintang Jepun itu menewaskan Alison Riske 6-3, 6,4, hari ini.

Naomi dilihat bangkit di Florida apabila berjaya mara ke suku akhir selepas mengharungi kempen di Indian Wells awal bulan ini dengan hambar sehingga diejek peminat.

Juara Grand Slam empat kali itu yang mendapat bye pada pusingan sebelum ini, kekal sebagai pilihan untuk merangkul gelaran kali ini.

"Sudah tentu saya sangat gembira. Tahun lalu saya sampai ke peringkat suku akhir di Miami selepas menang di Australia dan saya memenangi perlawanan pada kali ini juga.

"Saya berasa sangat bersyukur. Ia adalah salah satu detik paling menyeronokkan dalam hidup saya.

"Banyak perkara yang saya fikirkan pada tahun lalu.

"Mungkin ketika ini saya cuba untuk kembali ke ranking nombor satu atau memikirkan perkara lain yang tidak begitu penting.

"Pada masa itu kepala saya sangat berat. Sekarang saya sangat gembira kerana sudah sihat," kata Naomi yang dilihat mempamer aksi kemas dan cemerlang sepanjang berdepan Alison.

Sementara itu, Danielle yang juga pilihan kesembilan, menewaskan Ons Jabeur 6-2, 6-4 sebelum itu untuk melangkah ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 9:21 AM