Karolina Pliskova dari Republik Czech. FOTO Reuters
Karolina Pliskova dari Republik Czech. FOTO Reuters
AFP

PEMAIN Jepun, Naomi Osaka melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Tenis Piala Rogers di Toronto, Kanada pagi ini, sekali gus bakal menggugat ranking kedudukan pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty dari Australia.

Juara bertahan Terbuka Australia dan Amerika Syarikat itu, mara selepas mendahului 6-2 di set pertama apabila pemain Jerman, Tatjana Maria menarik diri berikutan mengalami kecederaan otot kiri.

Naomi tidak beraksi dalam beberapa perlawanan selepas tewas kepada Yulia Putintseva pada pusingan pertama di Wimbledon.

Kemenangan itu membolehkan Naomi berada pada landasan tepat untuk mengambil alih kedudukan teratas menerusi ranking terbaru pemain pada Isnin ini.

Pemain pilihan ketiga, Karolina Pliskova dari Republik Czech, bagaimanapun, mungkin dapat mengatasi Barty - juara Terbuka Perancis itu tewas di Toronto pada Selasa lalu dan Naomi juga berpeluang merampas kedudukan nombor satu.

Aksi Naomi Osaka dari Jepun ketika menentang pemain Jerman, Tatjana Maria pada kejohanan Piala Rogers di Pusat Aviva, Toronto, Kanada. FOTO AFP
Aksi Naomi Osaka dari Jepun ketika menentang pemain Jerman, Tatjana Maria pada kejohanan Piala Rogers di Pusat Aviva, Toronto, Kanada. FOTO AFP

Karoline menewaskan pemain di ranking ke-37 dari Amerika Syarikat, Alison Riske 6-4, 6-7 (4/7), 6-2.

Pemain Republik Czech berusia 27 tahun harus mara ke peringkat separuh akhir untuk berpeluang bersaing sebagai pemain nombor satu dunia, namun jika Osaka berjaya mara dalam kelompok lapan terakhir, Karolina pula harus mara ke final untuk mencerahkan peluang menjadi pemain nombor satu minggu depan.

Karolina akan berdepan pemain di rangkin ke-19 dari Estonia, Anett Kontaveit, yang melangkah ke pusingan ketiga selepas pemain Sepanyol, Carla Suarez Navarro menarik diri kerana kecederaan ketika perlawanan berkedudukan 7-5, 3-1.

Pada hari sama aksi pusingan kedua, pemain berusia 19 tahun dari Ukraine, Dayana Yastremska menewaskan juara dua kali kejohanan utama dan bekas pemain nombor satu, Victoria Azarenka 7-5, 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:52 AM