AKSI Djokovic membalas hantaran Tomic di Miami Gardens, Florida. - FOTO AFP
AKSI Djokovic membalas hantaran Tomic di Miami Gardens, Florida. - FOTO AFP
AFP

NOVAK Djokovic melupakan tragedi Indian Wells dengan mara bergaya ke pusingan ketiga Terbuka Miami selepas menewaskan pemain Australia, Bernard Tomic 7-6 (7/2), 6-2, awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu tewas mengejut di tangan pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber di padang pasir California tetapi kembali membara memburu kejuaraan ketujuh di Selatan Florida.

Tomic yang menduduki ranking ke-81dunia beberapa kali memberi masalah kepada bintang berusia 31 tahun itu tetapi aksi tidak konsisten memberi peluang kepada Djokovic menamatkan perlawanan di Stadium Hard Rock dalam masa satu jam 13 minit.

"Saya tidak berada dalam keadaan terbaik di Indian Wells," akur Djokovic yang meraih 81% mata daripada servis pertama dan melakukan 11 ace.

"Setiap orang pasti berdebar masuk ke gelanggang tidak kira betapa berpengalamannya anda atau ranking anda. Jika anda gementar, bermakna anda mengambil berat perlawanan itu.

"Saya kerap melalui saat itu. Ini kali pertama beraksi di stadium baru. Seperti beraksi di stadium tertutup dan ia unik.

"Sekarang saya harap dapat membina momentum.”

Sementara itu, pilihan utama kategori wanita Naomi Osaka dan juara 23 Grand Slam Serena Williams turut menepati ramalan tetapi juara Indian Wells, Dominic Thiem tewas mengejut di tangan pemain muda Poland, Hubert Hurkacz 6-4, 6-4.

Turut dihantar pulang bintang Jepun, Kei Nishikori. Pilihan kelima kejohanan itu tewas kepada pemain Serbia, Dusan Lajovic 2-6, 6-2, 6-3 tetapi juara bertahan John Isner mara dengan menewaskan pemain kelayakan dari Itali Lorenzo Sonego 7-6 (7/2), 7-6, (9/7).

Naomi mengatasi cabaran pemain ranking ke-141, Yanina Wickmayer dari Belgium 6-0, 6-7 (3/7), 6-1 dan akan menentang pemain Taiwan, Hsieh Su-Wei yang menewaskan pemain Amerika Syarikat, Alison Riske 6-2, 7-5 di pusingan ketiga.

Serena pula bangkit daripada kekalahan di set kedua sebelum menewaskan pemain Sweden, Rebecca Peterson 6-3, 1-6, 6-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:10 PM