SKUAD Melaka Titans mahu tebus duka.
SKUAD Melaka Titans mahu tebus duka.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Persatuan Sepak Takraw Melaka tampil dengan sasaran mara ke perlawanan akhir Liga Sepak Takraw (STL) 2021 Divisyen 1, awal bulan depan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (Pastam) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, sasaran itu berdasarkan skuad Melaka Titans yang mempertaruhkan barisan terbaik dan berpengalaman.

Katanya, kegagalan pada aksi separuh akhir musim lalu memberi pengajaran kepada mereka untuk tampil bangkit menebus kekecewaan.

"Saya mengakui musim lalu (STL2020) ada sedikit kealpaan di peringkat kami ahli jawatankuasa yang mana kita tidak meletakkan fokus sebetulnya kepada Melaka Titans.

"Justeru, kami mahu tebus kehampaan dengan membawa masuk pemain berbeza yang pernah beraksi bersama pasukan-pasukan besar sebelum ini. Sehubungan itu, kami yakin mampu melangkah ke perlawanan akhir dan seterusnya beraksi di saingan liga teratas iaitu STL Premier bagi musim 2022," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Memperkenalkan Pemain STL Melaka 2021/2022, di sini, malam tadi.

Pengenalan pemain dan barisan kejurulatihan itu disempurnakan Exco Sukan V P Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Akramuddin yang juga Pemangku Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) turut memaklumkan Melaka bakal menjadi salah satu venue bagi saingan STL musim 2022 yang dijadual pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:27 PM