TUN Mohd Ali (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 di Hotel LaCrista, Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
TUN Mohd Ali (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 di Hotel LaCrista, Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebanyak 17 pasukan bakal bersaing dalam Kejohanan Sepaktakraw Tun Ali 2022 di Bukit Serindit pada 15 hingga 21 Ogos depan.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kejohanan berprestij merebut Piala Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam itu bakal disertai ahli gabungan negeri dan pasukan Singapura.

Katanya, tiada bayaran masuk dikenakan kepada penggiat dan peminat sukan yang ingin menyaksikan atlet terbaik beraksi dalam kejohanan itu.

"Kejohanan membabitkan acara antara regu dan beregu itu menawarkan hadiah RM10,000 bagi juara regu dan RM8,000 (beregu) dan dijangka menjanjikan saingan sengit.

"Piala Tun Ali 2022 antara lain bertujuan melahirkan pelapis baharu termasuk kehadiran pemain Sukan Malaysia (Sukma) yang disenaraikan sesetengah pasukan dalam mendedahkan mereka pada saingan kompetitif," katanya.

Malah, beberapa pasukan menyenaraikan pemain import yang akan menambahkan lagi seri dan kemeriahan kejohanan itu.

Majlis pelancaran kejohanan disempurnakan Mohd Ali yang turut melancarkan bas persatuan berkenaan.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 7:37 PM