Mesyuarat Agung dan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PSNP diadakan secara maya. FOTO Ihsan PSNP
Mesyuarat Agung dan Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PSNP diadakan secara maya. FOTO Ihsan PSNP
Asrol Awang


Kuantan: Tengku Muhamad Sultan Abu Bakar kekal sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) bagi penggal 2021-2024.

Jawatan Timbalan Presiden PSNP pula disandang Datuk Abu Jimi Samat manakala Naib Presiden Satu dan Dua, masing-masing disandang Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dan Nara @ Nikman Nordin.

Pada pemilihan baharu Ahli Majlis Tertinggi PSNP pada Mesyuarat Agung PSNP yang diadakan secara maya malam tadi, tiada sebarang pertandingan.

Bagaimanapun, jawatan Timbalan Presiden serta Naib Presiden Satu dan Dua diisi orang baharu.

Mesyuarat Agung PSNP itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Sementara itu, Nara @ Nikman berkata, Mesyuarat Agung PSNP memutuskan akan menghantar wakil bagi menghadiri Mesyuarat Agung luar biasa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Mesyuarat Agung Tahunan PSM.

"Timbalan Presiden dan dua Naib Presiden akan menjadi wakil PSNP ke mesyuarat berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Nara @ Nikman berkata, Mohd Johari mengumumkan pemberian geran kepada PSNP sebanyak RM20,000.

"Terima kasih di atas pemberian geran itu dan diharap akan membantu memperkasakan PSNP terutama melahirkan pemain sepak takraw berkaliber," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 4:42 PM