Mohd Sumali (kiri) dan Zuraidin calon Presiden PSM.
Mohd Sumali (kiri) dan Zuraidin calon Presiden PSM.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persaingan satu lawan satu bagi jawatan presiden bakal dilihat dalam pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang akan berlangsung 12 Februari apabila senarai nama pencalonan diumumkan badan induk berkenaan hari ini.

Selepas tarikh tutup pencalonan ditutup tengah malam tadi, PSM memaklumkan jawatan presiden ditandingi Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP), Datuk Mohd Sumali Reduan dan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah.

Sumali yang juga naib presiden PSM menerima tujuh pencalonan manakala Zuraidin memperoleh dua pencalonan manakala jawatan timbalan presiden ditandingi empat calon.

Empat calon berkenaan ialah Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman; Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Sumali dan Zuraidin.

Bagi jawatan naib presiden, ia akan memperlihatkan lima nama disenaraikan iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang, Datuk Abu Jimi Samat; Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA), Datuk Awang Sham Amit; Abdul Puhat dan Abdul Halim.

Pada pemilihan bagi penggal lalu, bekas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang melepaskan jawatan berkenaan pada 5 Jun lalu menewaskan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran.

Ahmad pada ketika itu menang 51-16 undi sekali gus mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 4:23 PM