Kenyataan yang dikeluarkan PSNP
Kenyataan yang dikeluarkan PSNP
Asrol Awang


Kuantan: Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) menarik diri sebagai ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkuatkuasa hari ini.

Yang Dipertua PSNP, Tengku Datuk Muhamad Sultan Abu Bakar berkata, keputusan itu selepas mengikuti dan mengambil maklum perkembangan isu semasa yang membabitkan sukan takraw di negara ini.

"Justeru, setelah membuat pertimbangan sehabis baik, PSNP melalui keputusan Mesyuarat Exco PNSP secara maya pada 29 Mei lalu memutuskan penarikan diri daripada ahli gabungan PSM berkuatkuasa serta merta.

"PSNP berharap semua usaha yang digerakkan ke arah kebaikan sukan sepak takraw di dalam negara dan di persada antarabangsa haruslah diberi peluang dan sokongan demi kepentingan semua pihak.

"PSNP setulus hati ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan PSM dalam memartabatkan sukan sepak takraw selama ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Setakat ini, antara persatuan yang menarik diri ialah Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ).

Selain itu, Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) dan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:29 PM