AHMAD ISMAIL
AHMAD ISMAIL
Azlan Muhammad Zain


SUKAN sepak takraw negara menerima tamparan hebat hari ini.

Ini selepas Malaysia “hilang pengaruh” dalam Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) selain digugurkan sebagai satu daripada sukan teras di bawah Majlis Sukan Negara (MSN),

Negara hilang pengaruh di peringkat antarabangsa hari ini selepas tidak mempunyai wakil dalam ISTAF selepas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail memutuskan tidak bertanding merebut jawatan presiden.

Keputusannya itu sekali gus membolehkan penyandangnya dari Thailand, Charouck Arirachakaran mempertahankan jawatan berkenaan yang disandang sejak 1998 pada pemilihan di Bangkok, hari ini.

“Beliau (Ahmad) menghantar sepucuk surat malam tadi menyatakan hasrat menarik diri,” kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader ketika mengesahkan perkembangan itu.

Ahmad sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Presiden I ISTAF sejak 2008. \

Jawatan itu kini diambil alih Boonchai Lorhpipat (Thailand) manakala Sohrab Azad Khan (Iran) mengisi Timbalan Presiden II bagi penggal 2018-2021.

Malaysia tidak mempunyai wakil dalam senarai lapan Naib Presiden dengan Abdul Halim menjelaskan Ketua Seranta dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Atlet PSM, Datuk Mohd Sumali Mohd Raduan turut menarik diri bertanding jawatan itu.

Malaysia juga tiada wakil dalam senarai 10 ahli majlis.

Sebelum itu, PSM diumumkan sebagai antara tiga jenis sukan yang digugurkan daripada program teras di bawah kendalian MSN selain tidak dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak pada tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, sepak takraw tidak menunjukkan prestasi yang baik sejak 2006 dengan ranking terus merosot.

Ini bermakna, PSM perlu mencari dana sendiri terutamanya dalam program pembangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 7:43 PM