JINQ En cipta rekod baharu kebangsaan. FOTO MSN
JINQ En cipta rekod baharu kebangsaan. FOTO MSN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun gagal mara ke saingan seterusnya, perenang negara Phee Jinq En nyata masih berbangga kerana dapat mengotakan janjinya untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) kuak dada semalam.

Jinq En melakar rekod itu pada saringan kedua dengan catatan 1 minit 08.40 saat (s) sekali gus memperbaharui catatan miliknya sendiri 1:08.50s yang dilakukan ketika memenangi pingat emas di Sukan Sea 2019 dekat Filipina.

Jelas perenang berusia 23 tahun itu, dia memberikan fokus 200 peratus pada saringan semalam.

"Usaha 200 peratus untuk 100m kuak dada seperti yang dijanjikan. Catatan baru karier terbaik dan rekod baru kebangsaan. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan," kata Jinq En di Instagram miliknya.

Catatan itu masih belum mencukupi untuk Jinq En berada dalam kelompok 16 perenang terbaik untuk aksi separuh akhir hari ini. Jinq En menamatkan saingan di kedudukan ke-29 daripada 43 peserta keseluruhan.

Bagaimanapun, cabaran Jinq En masih belum berakhir kerana dia akan turun beraksi dalam acara 200m kuak dada wanita pada Rabu ini.

Manakala kempen seorang lagi perenang negara, Welson Sim di Olimpik sudah berakhir selepas mengharungi saringan acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:47 PM