PHEE Jinq En
PHEE Jinq En
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun sekadar meraih pingat perak, perenang wanita negara, Phee Jinq En tetap berpuas hati dengan keputusan itu kerana catatan masa yang dilakukannya di Pusat Akuatik Nasional semalam diiktiraf sebagai rekod baru kebangsaan dalam acara 50 meter kuak dada.

Jinq En mencatat 31.54s di belakang perenang Singapura, Ho Ru’en Roanne (31.29s) tetapi dia berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 31.66s yang dilakukannya di Kejohanan Male Nostrum di Monaco, tahun lalu.

“Saya tetap berpuas hati kerana memperbaharui rekod kebangsaan.

“Memang saya mahu memenangi pingat emas tetapi Roanne ternyata lebih baik. Saya sudah berikan segala-galanya,” katanya.

Untuk rekod, Jinq En turut meraih perak dalam acara sama dua tahun lalu di Singapura.

Seorang lagi perenang negara, Tia’a Faang Der juga mempamer prestasi memberangsangkan dengan meraih pingat perak acara 200 meter kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan 2:01.04s di belakang perenang Singapura, Quah Zheng Wen (1:57.95s).

Daniel Lim juga cemerlang apabila meraih gangsa dalam acara 200 meter kuak dada dengan catatan 2:15.77s.

“Saya benar-benar terkejut apabila melihat keputusan saingan hari ini sebab pada asalnya saya hanya mahu memperbaiki catatan peribadi (2:18.00s).

“Saya sasarkan untuk mencatat sekitar 2:16.00s tetapi akhirnya mampu melakukan masa lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 9:08 AM