JINQ En ketika beraksi dalam acara 100m kuak dada wanita saringan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
JINQ En ketika beraksi dalam acara 100m kuak dada wanita saringan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
BERNAMA

PHEE Jinq En muncul antara perenang Malaysia yang melayakkan diri ke final acara renang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas sesi saringan pagi ini.

Jinq En mencatat 1 minit 10.41 saat untuk menduduki tempat pertama daripada keseluruhaan 10 perenang dalam saringan 100m kuak dada wanita.

Seorang lagi perenang negara, Erika Kong turut mara ke final selepas merakam 1:12.08s untuk menduduki tempat kelima keseluruhan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.

Dalam acara 200m rampaian individu wanita, Nadia Adrianna Redza dengan catatan masa 2:26.20s melayakkan diri selepas menduduki tempat kelapan manakala Angela Chieng akan beraksi pada final 800m gaya bebas wanita.

Final acara renang berlangsung malam ini.

Dalam saringan 200m rampaian individu lelaki, Lim Ching Hwang membuat penyudah di tempat kedua dengan masa 2:06.82s untuk menempah tiket ke final.

Tern Jian Han turut mara ke final 100m kuak lentang lelaki selepas mencatat masa 1:01.00s untuk menduduki tempat ketujuh dalam saringan.

Kerth Lim akan berentap dengan bintang renang Singapura, Joseph Schooling dalam final 100m gaya bebas lelaki.

Kerth merekod masa 51.30s untuk menduduki tempat keempat manakala Schooling mencatat masa terpantas 49.58s dalam peringkat saringan.

Sementara itu, kuartet lelaki negara akan beraksi dalam final 4x200m gaya bebas berganti-ganti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 12:56 PM