Perenang negara, Phee Jinq En. FOTO File NSTP
Perenang negara, Phee Jinq En. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perenang negara Phee Jinq En gagal mengulangi pencapaian cemerlang untuk sekurang-kurangnya memecah rekod kebangsaan apabila sekadar berada di kedudukan tercorot saringan pertama acara 200 meter (m) kuak dada wanita, Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Atlet berusia 24 tahun itu sebelum ini mencetuskan sensasi dengan catatan 1:08.40 saat (s) di peringkat saringan seterusnya berjaya memecah rekod kebangsaan 100m kuak dada.

Namun, kali ini atlet terbabit gagal mengulangi pencapaian sama apabila sekadar mencatat masa 2:32.57s untuk berada di kedudukan ke lapan dalam acara saringan itu.

Pada acara saringan terbabit menyaksikan atlet daripada Republik Czech, Horska Kristyna mencetak nama di tempat pertama dengan catatan masa 2:25.03s.

Perenang dari Ireland Mc Sharry Mona berada di kedudukan kedua manakala Teterevkova Kotryna dari Lithuania mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan masing-masing mencatat 2:25.08s dan 2:26.82s.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan perenang negara terbabit gagal menempatkan diri di kalangan 16 atlet terbaik di peringkat separuh akhir.

Terdahulu, Phee Jinq En, memecahkan rekod kebangsaan acara 100m kuak dada wanita dalam saringan kedua Sukan Olimpik Tokyo.

Dalam saingan tujuh perenang itu, Jinq En menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 1:08.40s sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 1:08.50s yang dilakukannya di Sukan Sea Filipina 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:22 PM