JINQ En masih boleh berbangga dengan catatan rekod kebangsaan walaupun gagal le separuh akhir. FOTO Ihsan Majlis Olimpik Malaysaia
JINQ En masih boleh berbangga dengan catatan rekod kebangsaan walaupun gagal le separuh akhir. FOTO Ihsan Majlis Olimpik Malaysaia
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kem renang negara suram lagi apabila dua perenang kebangsaan Phee Jinq En dan Welson Sim gagal mara ke pusingan seterusnya di Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Meskipun menamatkan saingan di tempat kedua dan memecahkan rekod kebangsaan dalam saringan acara 100m kuak dada wanita di Pusat Akuatik Tokyo namun masa yang dicatatkan oleh Jinq En tidak berada dalam kelompok 16 terbaik untuk mara ke separuh akhir, esok.

Jinq En menamatkan saingan di tempat kedua dengan mencatatkan 1 minit 08.40 saat (s) di belakang perenang Slovakia, Andrea Podmanikova (1:08.36s) manakala perenang American Samoa, Tilali Scanlan (1:10.01s) di tempat ketiga.

Atlet berusia 23 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada keseluruhan 43 peserta.

Bagaimanapun, Jinq En masih mempunyai satu lagi peluang di Olimpik Tokyo apabila turun beraksi dalam acara 200m kuak dada pada Rabu ini.

Sementara itu, Welson terpaksa melupakan Olimpik Tokyo lebih awal apabila sekali lagi gagal menyerlah dalam saingan 200m gaya bebas lelaki selepas mencatatkan 1:49.24s untuk menduduki tempat ketujuh dalam aksi saringan.

Perenang Romania, David Popovici memenangi saingan selepas mencatatkan 1:45.32s, diikuti Velimir Stjepanovic dari Serbia (1:46.26s) di tempat kedua dan perenang Jerman Jacob Heidtmann di tempat ketiga (1:46.73s).

Perenang berusia 24 tahun dari Sarawak itu menduduki tempat ke-32 daripada 39 peserta keseluruhan.

Semalam Welson gagal melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400m gaya bebas lelaki selepas mencatatkan 3:58.25s untuk menduduki tangga ke-33 daripada 36 perenang keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:56 PM