GELANGGANG tengah yang licin menjadi punca kecederaan Serena. FOTO EPA
GELANGGANG tengah yang licin menjadi punca kecederaan Serena. FOTO EPA
AFP

London: Impian Serena Williams untuk merangkul gelaran kelapan Wimbledon dan menyamai 24 rekod Grand Slam Margaret Court musnah dengan air mata.

Pemain berusia 39 tahun itu mendahului 3-1 pada set pertama pada aksi pusingan pertama menentang Aliaksandra Sasnovich dari Belarus mengalami kecederaan buku lali dan terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di luar gelanggang.

Dia kembali beraksi namun akhirnya meminta untuk menarik diri ketika kedudukan 3-3, melangkah meninggalkan gelanggang dengan air mata.

"Saya begitu kecewa kerana terpaksa menarik diri selepas kaki kanan saya mengalami kecederaan," katanya dalam laman Instragram.

Ini adalah kali pertama dalam 20 penampilan Serena terkeluar seawal pusingan pertama di Wimbledon.

"Kejam buat @serenawilliams tapi gelanggang tengah sangat licin, Tidak mudah di sana," Tweet pemain Britain, Andy Murray.

Serena yang turut membalut paha kanannya, belum meraih gelaran Slam sejak memenangi Terbuka Australia pada 2017.

Bekas pemain nombor satu British, Annabel Croft dalam pada itu berkata: "Usaha yang dilakukan Serena adalah untuk cuba dan meraih gelaran ke-24.

"Saya tidak boleh bayangkan kesakitan dan emosi yang dilaluinya ketika ini."

Minggu lalu, Williams mendedahkan yang dirinya tidak akan mengambil bahagian di Sukan Olimpik Tokyo.

Legenda Amerika Syarikat itu pernah memenangi pingat emas dalam acara perseorangan di London 2012, selain tiga lagi kilauan pingat sama dalam acara beregu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 12:01 PM