PEMAIN Australia, Ashleigh Barty meraikan kemenangan ke atas pemain Jerman, Angelique Kerber di separuh akhir, semalam. FOTO AFP
PEMAIN Australia, Ashleigh Barty meraikan kemenangan ke atas pemain Jerman, Angelique Kerber di separuh akhir, semalam. FOTO AFP
AFP

London: Ashleigh Barty mahu memenuhi impian sejak kecil apabila turun ke final perseorangan wanita di Wimbledon, esok, tetapi Karolina Pliskova bakal menjadi penghalang sambil meraih pencapaian sendiri.

Barty mahu mengecapi gelaran pertama Wimbledon pada hari ulang tahun ke-50 pemain senegaranya dari Australia, Evonne Goolagong Cawley merangkul kejuaraan itu.

Pliskova lebih terdesak menutup mulut pengkritik dan menyatakan dia berada di landasan kebangkitan apabila bekas pemain nombor satu dunia itu terkeluar daripada ranking 10 terbaik.

Apa saja keputusan esok, Pliskova, 29, yang kini menduduki tempat ke-13, akan kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dan lebih penting, dia mahu memburu gelaran Grand Slam pertamanya.

Bagi menggapai impian itu, dia perlu menewaskan Barty, pemain nombor satu dunia yang beraksi cemerlang ketika menundukkan juara Wimbledon 2018, Angelique Kerber di separuh akhir.

Barty turut memiliki rekod lebih baik apabila mendahului 4-2 dalam pertemuan dengan Pliskova (1-0 kepada Barty di gelanggang rumput), termasuk pertarungan terbaru di atas gelanggang tanah liat di Stuttgart, tahun ini.

Aura Cawley kembali menjelma di All England apabila Barty memakai pakaian yang direka khas dan hampir sama dengan dipakai legenda itu pada 1971.

"Ia adalah ulang tahun istimewa buat Evonne," kata Barty.

"Saya amat bangga apabila diberi penghormatan memakai pakaian diinspirasikan beliau.

"Kali ini, peluang saya untuk mencipta sejarah dan pada masa memberi penghormatan kepadanya. Saya tidak sabar menanti peluang melakukannya pada Sabtu."

Pemain berusia 25 tahun itu yang juga juara Terbuka Perancis 2019 mengimpikan untuk beraksi di final acara senior Wimbledon, selepas menang gelaran junior pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 9:59 PM