PEMAIN Australia, Ashleigh Barty mengucup trofi selepas menang acara perseorangan wanita Wimbledon,  hari ini, FOTO EPA
PEMAIN Australia, Ashleigh Barty mengucup trofi selepas menang acara perseorangan wanita Wimbledon, hari ini, FOTO EPA
AFP

London: Ashleigh Barty memenangi kejuaraan pertama Wimbledon pada ulang tahun ke-50 pemain senegaranya dari Australia, Evonne Goolagong Cawley merangkul gelaran itu, dengan menumpaskan Karolina Pliskova 6-3, 6-7 (4/7), 6-3, hari ini.

Bagi pemain berusia 25 tahun itu yang memakai pakaian direka khas seperti dipakai Cawley pada 1971 – gelaran Wimbledon adalah yang kedua di Grand Slam selepas juara Terbuka Perancis pada 2019.

"Saya harap dapat membuatkan Evonne bangga," kata Barty.

Ia adalah final pertama perseorangan wanita yang berlanjutan tiga set sejak 2012, apabila Serena Williams menumpaskan pemain Poland, Agnieszka Radwanska.

Barty dilihat akan menang mudah selepas mendahului 4-0 pada set kedua, tetapi Pliskova, 29, bangkit semula memenangi set itu dan kemudian diheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, Barty kemudian kembali menguasai permainan dan akhirnya melutut sambil menutup tangan ke muka selepas memenangi perlawanan itu.

Dia kemudian mengesat air mata sebelum memanjat kotak pemain, sama seperti dilakukan rakan senegaranya, Pat Cash selepas memenangi acara lelaki di Wimbledon pada 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 11:56 PM