VENUS WILLIAMS. -Foto AFP
VENUS WILLIAMS. -Foto AFP
AFP

NAIB juara Wimbledon dan Terbuka Australia, Venus Williams bersiap sedia minggu ini menjelang Terbuka Amerika Syarikat selain menjadi emak saudara apabila adiknya Serena Williams melahirkan bayi tidak lama lagi.

Venus, pemain ranking kesembilan dunia, layak ke pusingan kedua Terbuka Cincinnati dalam Jelajah WTA apabila menyingkirkan rakan senegara dari AS, Alison Riske 6-2, 6-0 dalam masa 66 minit.

Namun di luar gelanggang, dia membuat pembelian secara dalam talian untuk bayi Serena dan mendapatkan nasihat berguna daripada ibunya, Oracene Price, yang sudah membesarkan lima anak perempuan.

“Saya mempunyai banyak benda dalam cart yang saya mahu pesan,” kata Venus. “Saya bercakap dengan emak saya semalam. Saya bertanyakan, ‘Mak, apa yang anda benar-benar perlukan?’ Jadi beliau memberikan saya beberapa panduan.

“Jadi saya akan mendapatkan barangan ini dan lihat apa yang diperlukan selepas itu.”

Serena dan tunangnya, pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian, menyatakan sebelum ini mereka bercadang merahsiakan jantina bayi itu hingga hari dia dilahirkan.

Serena, 35, sudah hamil ketika dia menundukkan Venus, 37, pada final Terbuka Australia antara adik beradik Williams itu, memenangi gelaran perseorangan Grand Slam ke-23 kariernya, satu kurang daripada rekod sepanjang zaman dipegang Margaret Court.

April lalu, Serena mendedahkan dalam media sosial dia sudah hamil. Dia dijangka melahirkan bayi itu kira-kira sebulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 11:35 AM