NADAL (kanan) mengucapkan tahniah kepada Tsitsipas selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
NADAL (kanan) mengucapkan tahniah kepada Tsitsipas selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Bintang Greece, Stefanos Tsitsipas bangkit daripada tewas dua set pertama untuk mengejutkan Rafael Nadal pada suku akhir Terbuka Australia, hari ini.

Kekalahan itu sekali gus memusnahkan impian sensasi Sepanyol itu untuk melakar rekod memenangi 21 gelaran Grand Slam.

Nadal yang diletakkan selaku pilihan kedua, berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan sebelum Tsitsipas bangkit melakar kemenangan 3-6, 2-6, 7-6 (7/4), 6-4, 7-5.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku di set ketiga. Saya seperti burung yang terbang, segala-galanya nampak sempurna," kata Tsitsipas.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya selepas tamat perlawanan."

Pemain berusia 22 tahun itu berkata sikap sabar mungkin menjadi kunci kepada kebangkitannya itu.

"Saya dapat mengekalkan perasaan dan sentiasa tenang terutama ketika situasi sukar. Saya gembira dengan apa yang saya lakukan di atas gelanggang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 10:33 PM