Aksi Rafael Nadal menentang Andrey Rublev pada aksi peringkat kumpulan di ATP Finals dekat London. FOTO AFP
Aksi Rafael Nadal menentang Andrey Rublev pada aksi peringkat kumpulan di ATP Finals dekat London. FOTO AFP
AFP

London: Rafael Nadal memulakan pemburuan bagi trofi pertama ATP Finals dengan penuh bergaya mengatasi Andrey Rublev dalam straight set manakala Dominic Thiem menewaskan Stefanos Tsitsipas.

Pemain nombor dua dunia dari Sepanyol itu, memburu hadiah terbesar yang tertinggal dalam rentetan kejayaannya, mengatasi pemain Rusia itu, 6-3, 6-4 di O2 Arena.

Terdahulu, juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Thiem menebus kekalahannya kepada Tsitsipas pada perlawanan dalam kejohanan tahun lalu menewaskan pemain pilihan keenam dari Greece itu, 7-6 (7/5), 4-6, 6-3.

Nadal, menyamai rekod Roger Federer dengan mencatat kejuaraan Grand Slam ke-20 dengan memenangi Terbuka Perancis bulan lalu, sudah meraih 86 gelaran tetapi hanya satu daripadanya dicapai di gelanggang dalam dewan.

Rekodnya dalam acara elit lapan pemain itu tidak begitu baik berbanding pencabar utamanya. Federer yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan, sudah mencatat rekod kemenangan enam kali dan Novak Djokovic menjulang kejuaraan lima kali.

Nadal, 34, dan Rublev kedua-duanya berada dalam kedudukan selesa pada pusingan awal peringkat liga bagi kumpulan London 2020.

"Selalu perlawanan pertama penuh dengan muslihat," kata Nadal.

"Setiap perlawanan adalah sukar apabila anda beraksi berdepan pemain terbaik antara terbaik jadi ia adalah permulaan yang positif buat saya, saya sangat gembira."

"Saya fikir pukulan servis saya berjalan lancar jadi ia sedikit sebanyak membantu dalam perlawanan," tambah finalis dua kali kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 12:48 PM