ATLET pelayaran Terengganu bersiap sedia untuk berlepas ke Pulau Langkawi bagi menyertai kem pemilihan pasukan kebangsaan. FOTO MALIK MUHAMAD
ATLET pelayaran Terengganu bersiap sedia untuk berlepas ke Pulau Langkawi bagi menyertai kem pemilihan pasukan kebangsaan. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Seramai 30 atlet pelayaran Terengganu 'berkampung' di Pulau Langkawi bagi menguji kehandalan masing-masing selepas tersenarai menyertai program pemilihan kem kebangsaan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Pulau Langkawi yang berakhir 24 Disember ini.

Program bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) bersama badan induk Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) itu adalah dalam misi membentuk atlet pelapis negara sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan SEA dan Sukan Asia.

Jurulatih negeri, Hamdan Mohd Rozi menjelaskan Terengganu menghantar semaksimun atlet berbakat dalam sesi pemilihan fasa kedua itu dalam misi untuk memberi pendedahan selain mengintai peluang menyarung jersi kebangsaan.

Katanya, penyertaan atlet negeri ini membabitkan acara international 420, laser radial, laser 4.7, luncur angin dan optimist yang juga prospek pingat negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, antara nama besar yang bakal menyertai sesi pemilihan itu termasuk Alif Safares Azmi, Muhammad Fikri Aqil Mohd Fouzi, Sofiatul Khadija Markham dan pasangan adik- beradik, Al Yauma Akma serta Al Insyirah Aina Zulkifeli.

"Daripada jumlah atlet yang kita hantar, sasaran kita sekurang-kurangnya sepuluh daripada mereka dapat terpilih menyertai skuad kebangsaan bagi program Sukan Asia 2022, Sukan SEA 2023 dan 2025.

"Lagipun semua atlet ini sudah berlatih sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui sidang video sehinggalah aktiviti sebenar di air," katanya ketika ditemui di Pulau Duyong, semalam.

Sementara itu, Al Yauma Akma akui teruja apabila sekali lagi terpilih menyertai program kem kebangsaan itu yang turut berlangsung kejohanan simulasi bagi program 'Road To Tokyo 2020'.

"Saya bagaikan tidak sabar menyertai sesi pemilihan dan kejohanan itu nanti sambil berharap kali ini saya terpilih slot ke Sukan Olimpik Tokyo kerana sememangnya ini impian saya untuk membuktikan anak Terengganu mampu beraksi di pentas Olimpik," katanya yang pernah muncul juara dalam Langkawi International Reggata Perdana tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 2:22 PM