ANTARA atlet negara yang menjalani latihan intensif di perairan Desaru.
ANTARA atlet negara yang menjalani latihan intensif di perairan Desaru.
Ferzalfie Fauzi


Kota Tinggi: Skuad pelayaran negara termasuk tiga atlet yang sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo memperkemaskan persiapan mereka untuk mencapai sasaran meraih podium dengan menjalani latihan intensif di perairan Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (KRMSAU), Desaru.

Latihan intensif itu merangkumi dua sesi iaitu pada 21 Mac lalu hingga 11 April manakala sesi kedua pula bermula dari 19 April hingga 9 Mei.

Sesi latihan itu menyaksikan seramai 17 atlet termasuk tiga yang mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo iaitu Nur Shazrin Mohamad Latif (Laser Radial) dan juga atlet gandingan Nuraisyah Jamil bersama Juni Karimah Noor Jamali (International 470) di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Hafizi Roslee serta Muhammad Sahir A Rahim.

Menurut Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, sesi latihan berkenaan sangat penting dalam merealisasikan misi meraih rekod baharu pelayaran sambil mengintai prospek menaiki podium di Olimpik Tokyo.

Beliau menegaskan, pasukan atlet pelayaran negara hanya tinggal empat bulan untuk membuat persiapan sebelum menyertai Olimpik Tokyo.

Sebelum ini, pelayar negara mula melayakkan diri di Olimpik sejak 1996 di Atlanta menerusi acara Laser Standard dan tidak pernah terlepas peluang ke temasya berkenaan sehingga Olimpik Tokyo.

Katanya, MSA tidak boleh lagi menunggu keadaan pandemik Covid-19 stabil sebaliknya perlu mengisi ruang dan masa yang ada dengan menjalani latihan intensif tanpa kompromi dalam soal pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa. Pemilihan perairan terbuka Laut China Selatan dekat KRMSAU sebagai lokasi alternatif untuk latihan penting itu berikutan keadaan angin di Pusat Latihan Langkawi ketika ini agak perlahan dan latihan tidak dapat dijalankan seperti diharapkan oleh jurulatih.

Sebaliknya, keadaan laut di Desaru i amat berbeza dengan keadaan angin yang kuat dan ombak besar sekali gus mampu menggantikan latihan dan kejohanan pendedahan luar negara yang terpaksa dibatalkan buat ketika ini.

Latihan pasukan pelayaran negara di lokasi baharu itu mendapat perhatian Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismai, apabila beliau datang meninjau KRMSAU bersama Kamaruzzaman dan berpuas hati dengan latihan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 9:59 PM