MSA yakin peroleh satu meas di Sukan Asia Jakarta. FOTO/FAIL
MSA yakin peroleh satu meas di Sukan Asia Jakarta. FOTO/FAIL
Haika Khazi


PERSATUAN Pelayaran Malaysia (MSA) optimis mampu meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan Asia Jakarta 2018, biarpun dua acara yang menjadi taruhan mereka tidak dipertandingkan di temasya berkenaan, Ogos nanti.

Sasaran itu dianggap realistik selepas penganjur menggugurkan acara antarabangsa 420 dan optimis daripada senarai acara yang bakal dipertandingkan di temasya berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mazlan Othman berkata, MSA kini meletakkan sandaran merangkul pingat menerusi acara laser dan antarabangsa 470 lelaki dan wanita dengan satu daripadanya mampu meraih pingat emas.

“Sebagai persiapan awal, kita akan menghantar semua atlet pelayaran negara yang bernaung di bawah Program Podium untuk menjalani latihan intensif dan menyertai kejohanan di Greece, Februari ini.

“Kita juga akan menghantar atlet untuk menyertai pelbagai pertandingan antarabangsa termasuk Kejohanan Sukan Pelayaran Asia (Pra Sukan Asia) di Achol, Jakarta, Indonesia (24 hingga 30 Jun 2018) dan Kejohanan Sukan Pelayaran Dunia di Denmark, 30 Julai hingga 12 Ogos 2018 (kelayakan Olimpik Tokyo 2020),” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi Sukan Pelayaran bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan MSA memberi bayangan mereka sukar meraih emas selepas acara yang menjadi sandaran atlet negara digugurkan.

Setiausaha Kehormat MSA, Megat Fairuz Khairuddin, dipetik sebagai berkata, ketiadaan acara optimis dan antarabangsa 420 menyukarkan persatuan itu untuk menjamin sebutir emas pada kali ini.

Dalam temasya di Incheon empat tahun lalu, pelayar negara meraih satu emas menerusi Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz dalam saingan 420.

Bagaimanapun, pasangan emas itu yang akan beraksi dalam acara 470 di Indonesia tetap dijadikan sandaran untuk meraih sebarang pingat negara pada Ogos ini.

Malaysia juga boleh meletakkan sandaran kepada atlet pelayaran berpengalaman, Khairulnizam Mohd Afendy, yang meraih perak acara laser dalam Sukan Asia di Incheon.

Sementara itu, Mazlan mengesahkan MSA akan memindahkan separuh atlet sukan pelayarannya dari Langkawi ke Penggerang, Johor bagi untuk menjalani latihan lebih mencabar di kawasan berhampiran Laut China Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 5:36 PM