SUBAHAN menegaskan FIH dan AIH perlu mengkaji semula syarat kelayakan ke Olimpik. FOTO FB MHC
SUBAHAN menegaskan FIH dan AIH perlu mengkaji semula syarat kelayakan ke Olimpik. FOTO FB MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mengakui tetap berbangga dengan pencapaian skuad hoki negara biarpun gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang menjadi sasaran utama mereka.

Katanya, Speedy Tigers sudah melakukan yang terbaik dengan pencapaian gemilang dilakarkan sepanjang 2023.

Katanya, pada 2023 Speedy Tiger bergelar juara Piala Azlan Shah buat kali pertama, muncul naib juara Kejohanan Asia, juara hoki dalam dewan Asia dan naib juara hoki lima sebelah dunia selain pernah berada di kedudukan ranking kesembilan dunia.

Malah, beliau yakin kehadiran Sarjit Singh yang diberi kontrak dua tahun mengendalikan skuad senior mampu membawa sinar baru kepada pasukan negara.

"Banyak kritikan diterima MHC yang mengatakan skuad hoki padang kita gagal. Kita tidak gagal, sistem kelayakan yang tak betul.

"FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dan AIH (Persekutuan Hoki Asia) perlu kaji semula syarat kelayakan ke Olimpik," katanya.

Tegas Subahan, A Arul Selvaraj sudah menjalankan tugas dengan baik, namun dia gagal membawa skuad negara ke Olimpik dan dalam setiap kitaran Olimpik memang diletakkan indeks prestasi utama (KPI).

"Kami tak gagal cuma kami tak layak ke Olimpik, jadi selepas diletakkan KPI dan ia gagal dicapai, pertukaran jurulatih itu berlaku.

"Sistem kelayakan ke Olimpik sebenarnya yang perlu diubah. Sistem kelayakan kena tukar kerana ia tidak adil.

"Kalau masih lagi sistem sama apabila hanya 12 pasukan layak ke Olimpik ini yang akan buat kita bermasalah dalam kelayakan," katanya.

Jika dilihat, hanya India yang menjadi wakil tunggal Asia layak ke Paris 2024 selaku juara Asia di temasya Sukan Asia Hangzhou yang lalu.

Manakala pasukan lain seperti China, Jepun, Pakistan dan Korea tidak layak ke Paris 2024.

Terdahulu, MHC mengumumkan perlantikan Sarjit sebagai jurulatih kebangsaan skuad hoki negara yang baharu bagi menggantikan Arul.

Sarjit ditawarkan kontrak selama dua tahun untuk mengendali skuad Speedy Tigers dengan tiada sasaran diletakkan kepada beliau.

Tugas utamanya adalah membawa negara meraih emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 2:34 PM