MALAYSIA berjaya mencatat kemenangan pertama dalam Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Wanita Kumpulan A menewaskan Vietnam 25-0. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia
MALAYSIA berjaya mencatat kemenangan pertama dalam Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Wanita Kumpulan A menewaskan Vietnam 25-0. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Asia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan wanita membuka kempen Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Kumpulan A dengan langkah kanan apabila berpesta jaringan menewaskan Vietnam 25-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Univeristi Sukan Kebangsaan Thailand, di sebelah pagi.

Ketua jurulatih pasukan negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata, beliau memuji barisan pemain apabila menampilkan aksi yang baik terutama dalam usaha mendapatkan jaringan sebanyak mungkin kerana ia amat penting dalam pertandingan seperti itu.

"Permainan disiplin yang baik ditunjukkan oleh setiap pemain. Jaringan yang besar penting untuk pasukan kita, terutamanya dalam aksi peringkat kumpulan kerana jaringan gol akan memainkan peranan. Pemain juga sedar tentang jaringan penting dalam perlawanan ini.

"Setiap peluang yang dimiliki berjaya diambil. Tetapi masih lagi ada beberapa kesilapan yang dilakukan namun pemain dapat atasi dengan baik. Pemain telah bermain dengan baik," katanya selepas tamat perlawanan pertama.

Selain itu, beliau juga ingin pemain untuk kurangkan kesilapan dalam perlawanan kedua nanti dan meneruskan rentak kemenangan bagi meningkatkan lagi keyakinan dalam perlawanan akan datang.

"Kita gunakan perlawanan pertama ini untuk bersedia untuk perlawanan kedua. Kesilapan-kesilapan mudah akan diperbaiki pada perlawanan kedua. Kita tidak boleh beri peluang kepada Oman pada petang nanti. Kita tidak akan ambil mudah pada petang ini. Kita perlu menang untuk menaikkan moral setiap pemain," katanya.

Terdahulu, Malaysia ternyata berada di kelas tersendiri apabila tidak berhadapan sebarang masalah untuk bermain dan mendapatkan jaringan.

Malah, permainan itu juga dilihat berat sebelah selepas pasukan negara lebih menguasai permainan sehingga tidak memberikan peluang kepada Vietnam untuk mendapatkan gol.

Malaysia antara pasukan pilihan ke pusingan seterusnya akan turun dalam satu lagi perlawanan di sebelah petang menentang Oman bagi memburu kemenangan kedua pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 3:37 PM