PEMAIN negara cuba melepasi kawalan pemain Oman. FOTO Persekutuan Hoki Asia
PEMAIN negara cuba melepasi kawalan pemain Oman. FOTO Persekutuan Hoki Asia
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan hoki dalam dewan wanita meneruskan rentak cemerlang apabila menjadikan Oman mangsa seterusnya dengan kemenangan 12-1 dalam aksi Kumpulan A Piala Asia Hoki Dalam Dewan, hari ini.

Ketua jurulatih pasukan negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi berkata, meskipun mencatat kemenangan tetapi beliau masih mengharapkan anak buahnya dapat menampilkan aksi lebih baik dan tidak melepaskan banyak peluang untuk menambah gol.

Beliau menyedari perlawanan menentang Kazakhstan akan menjadi lebih sengit esok susulan pasukan itu mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi dunia.

"Kemenangan yang penting untuk pasukan. Permain bermain dengan baik. Tetapi masih banyak lagi kesilapan mudah dilakukan oleh pemain. Kami barisan kejurulatihan masih tidak berpuas hati dengan permainan ditunjukkan oleh pemain.

"Pemain perlu memperbaiki corak permainan dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok. Dua kemenangan berturut-turut juga jaringan besar satu keputusan cukup positif untuk kami tetapi kami juga melepaskan banyak peluang menjaringkan gol pada perlawanan petang ini.

"Esok kami akan bertemu Kazakhstan. Satu pasukan yang kuat dan mempunyai pengalaman beraksi di Piala Dunia. Kami akan melihat dan lakukan video analisis untuk meneliti bagaimana corak permainan pasukan Kazakhsatan, supaya kami bersedia untuk perlawanan esok," katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan kedua di Univeristi Sukan Kebangsaan Thailand tadi, Malaysia gagal menggunakan peluang dari pukulan sudut penalti untuk menambah jaringan meskipun deretan peluang terhidang.

Malaysia dilihat begitu selesa mendominasi permainan namun kelihatan sedikit bergelut ketika ingin menambah bilangan gol sementara pasukan lawan pula berjaya membolosi gawang negara untuk mendapatkan jaringan saguhati buat mereka.

Selain itu, pemain negara, Raja Norsharina Raja Shahbuddin dipilih selaku pemain terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang termasuk jaringan hatrik darinya.

Jaringan Malaysia hadir menerusi Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit keenam, m-11, m-27, Raja Norsharina (m-18, m-29, m-35) dan Fazilla Sylvester Silin (m-12, m-34).

Sementara Juliani Mohamad Din, Nuraslinda Said, Nur Atira Mohamad Ismail dan Ellya Syahirah Ellias masing-masing mencetak satu gol buat Malaysia dan Maroa Al Saidi jaringan tunggal untuk Oman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 10:08 PM