PEMAIN negara cuba melepasi kawalan pemain Oman. FOTO AHF
PEMAIN negara cuba melepasi kawalan pemain Oman. FOTO AHF
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Apa yang penting misi utama iaitu layak ke Piala Dunia sudah tercapai." Demikian komen ketua jurulatih Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan yang menyaksikan anak buahnya menamatkan kempen Kejohanan Hoki 5's Piala Asia 2023 di Salalah, Oman dengan menduduki tempat keeempat selepas tewas 4-5 kepada tuan rumah, semalam.

Keputusan itu bagaimanapun tidak memberi sebarang kesan kepada skuad negara yang sudah pun memenuhi misi layak ke Piala Dunia 2024 selepas Oman, yang turut menjadi tuan rumah Piala Dunia 2024, berada dalam kelompok empat terbaik Kejohanan Hoki 5's Piala Asia.

Ia sekali gus menyaksikan Malaysia, India dan Pakistan layak ke Kejohanan Piala Dunia Hoki 5s Lelaki selaku wakil daripada Asia sementara Oman menerusi tiket selaku tuan rumah.

"Perlawanan dengan Oman untuk penentuan tempat ke-3 dan ke-4 bukan satu perlawanan yang mudah dan pemain melakukan kesilapan.

"Pertandingan kelayakan Piala Dunia bagi zon Asia selalunya sukar kerana semua pasukan memberikan saingan yang hebat.

"Ia adalah pengalaman berharga kepada sesetengah pemain kerana ia permainan baharu bagi mereka. Hoki 5's permainan berbeza daripada hoki padang membabitkan 11 pemain.

"Kami gembira kerana layak ke Piala Dunia Hoki 5s edisi pertama dan berharap kejayaan layak ke Piala Dunia ini akan meningkatkan lagi motivasi pemain untuk berlatih dengan lebih gigih lagi sebagai persediaan ke Piala Dunia.

"Secara keseluruhan, pasukan menunjukkan peningkatan namun masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik lagi," kata Wallace.

Empat gol Malaysia yang terhasil semalam menerusi dua jaringan Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-7 dan ke-22 sementara dua lagi gol masing-masing menerusi Muhammad Muhibuddin Moharam pada minit ke-11 dan Mohamad Akhimullah Anuar Esok minit ke-26.

Manakala lima gol yang dihasilkan pasukan Oman disumbangkan oleh Aiman Madit pada minit ke-6 dan ke-19, Khalid Al Shaaibi pada minit ke-11 dan ke-24 serta gol kemenangan mereka dijaringkan oleh Rashad Al Fazari pada minit ke-29.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 12:14 PM