SABAH berjaya muncul juara selepas mengalahkan juara bertahan, Selangor. FOTO Ihsan Sharp Rhinos OFFICIAL
SABAH berjaya muncul juara selepas mengalahkan juara bertahan, Selangor. FOTO Ihsan Sharp Rhinos OFFICIAL
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sabah melakukan kejutan terbesar apabila mengalahkan juara bertahan, Selangor 2-1 dalam final hoki wanita Piala Tun Abdul Razak edisi kelapan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Sabah yang pertama kali memasuki final ternyata berada di kelas tersendiri dan berjaya mengimbangi permainan pantas Selangor sepanjang permainan.

Bagaimanapun, Selangor tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan seawal pada minit keempat melalui gol pukulan sudut penalti menerusi Ellya Amanina Ellias.

Anak buah Harfizi Baharom terus mengatur serangan untuk menambah jaringan tetapi Sabah terus bertahan.

Bersambung babak kedua, anak didik Hasrul Jideh memperkemaskan rentak permainan dari segi pertahanan dan menyerang untuk mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berjaya selepas pemain Selangor melakukan kesilapan dan Sabah pantas mengatur serangan balas sebelum Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun meledak gol penyamaan menerusi gol padang pada minit ke-18.

Memasuki babak ketiga, perlawanan terus sengit dan berbalas serangan untuk mendapat gol kedua.

Selangor yang terpaksa bermain 10 orang buat seketika berjaya dimanfaatkan oleh Sabah apabila mereka menambah jaringan kedua menerusi Cyrachilld Rojos melalui gol padang pada minit ke-38.

Skuad kendalian Harfizi seakan-akan tertekan selepas ketinggalan dan terus mempercepatkan serangan.

Beberapa peluang terbaik menerusi pukulan sudut penalti juga gagal dimanfaatkan dengan baik.

Memasuki suku keempat, Selangor terus meningkatkan corak serangan bagi mendapatkan gol penyamaan.

Sabah nampak begitu tersusun dalam bertahan dan sekali sekali melakukan serangan balas untuk cuba mendapatkan jaringan ketiga.

Selangor terus dihidangkan pukulan sudut penalti dan deretan peluang namun gagal menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

Ketua pasukan Sabah, Surizan Awang Noh hampir menghukum pasukan Selangor melalui satu serangan balas pantas namun gagal disudahkan dengan baik.

Penantian skuad kendalian Hasrul akhirnya tersenyum gembira selepas menidakkan hasrat Selangor untuk mendapatkan juara berganda pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 9:47 PM