TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memberi kata-kata semangat kepada skuad hoki remaja. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker memberi kata-kata semangat kepada skuad hoki remaja. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi bersama skuad senior negara diharapkan akan membantu kapten pasukan hoki remaja negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook mengemudi skuad remaja negara apabila turun beraksi di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Bhubaneswar India 2021.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 24 November hingga 5 Disember 2021 itu menyaksikan pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Belgium, Chile dan Afrika Selatan.

Ia jelas sekali tanpa sukar namun Akhimullah tetap optimis dengan semangat semua pemain kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan masing-masing.

Jelasnya, peluang menyertai di Siri Jelajah United Kingdom baru-baru ini memberi pengalaman berharga kepada skuad negara terutama dalam penularan wabak Covid-19 ini.

"Siri jelajah United Kingdom banyak mengajar kami. Ada ketika kami ketinggalan tapi kami bangkit dan akhirnya kami berjaya menang.

"Perkara itu yang akan kami terapkan apabila turun beraksi di Piala Dunia nanti. Itulah kelebihan yang kita ada, semangat sepasukan," katanya.

Membuat penampilan 19 kali di peringkat antarabangsa bersama pasukan senior, Akimullah berkata dia akan menggunakan pengalaman itu untuk diterapkan kepada rakan-rakan pasukan.

Malaysia akan membuka tirai pertandingan melayan Chile pada 24 November ini jam 2.30 petang waktu Malaysia sebelum turun bertemu Belgium dua hari kemudian.

Skuad bimbingan Wallace Tan seterusnya akan menentang Afrika Selatan pada 27 November, perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada jam 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:53 PM