Arul berkata Shello akan kembali kerana sudah menjalani pembedahan. FOTO Bernama
Arul berkata Shello akan kembali kerana sudah menjalani pembedahan. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara boleh menarik sikit nafas lega apabila penyerangnya, Shello Silverius kembali menjalani latihan selepas mengalami patah tangan pada kempen Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Perkembangan tersebut diumumkan sendiri pengendali skuad kebangsaan, Arul Selvaraj yang memberitahu pemain kelahiran Sabah itu sudah menjalani latihan di gimnasium pada hari pertama sesi latihan fasa terakhir sebelum ke Kejohanan FIH Piala Dunia 2022 India.

Bagaimanapun katanya, pemain tengah Nik Aiman Nik Rozemi sah tidak akan bersama skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan ACL manakala Marhan Jalil dan Muhammad Shahril Saabah kembali memperkuatkan pasukan.

"Shello akan kembali kerana dia sudah menjalani pembedahan (patah tangan). Dia sudah masuk gimnasium untuk menjalani latihan.

"Kaki boleh berjalan cuma mungkin untuk tangan dia perlu ambil masa dua minggu sebelum boleh pegang kayu semula.

"Untuk Nik Aiman pula pemain terkeluar daripada skuad kebangsaan kerana tidak dapat pulih sebelum kejohanan.

"Bagi Marhan dan Shahril mereka nampak cerah untuk kembali. Malah pagi ini Marhan turun padang buat pukulan sudut penalti namun belum dimasukkan berlatih bersama rakan sepasukan," katanya.

Dalam pada itu, Arul berkata fokus latihannya pada minggu ini lebih terarah untuk mengembalikan semangat pasukan selepas bersaing di Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara.

"Untuk hari pertama, saya lebih tertumpu untuk kembalikan semangat pasukan sebab saya rasa mereka sebelum ini penat selepas mengharungi banyak perlawanan.

"Selepas ini saya akan menumpukan lebih kepada aspek teknikal pada minggu ini sebelum memberi tumpuan kepada aspek taktikal pada minggu yang seterusnya," ujarnya.

Untuk rekod, skuad hoki lelaki negara bakal berdepan dengan tugas getir meskipun meletakkan sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan di pentas Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:16 PM