MARHAN mengalami kecederaan patah jari kaki kanan ketika aksi berdepan Perancis. FOTO Bernama
MARHAN mengalami kecederaan patah jari kaki kanan ketika aksi berdepan Perancis. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain tengah hoki negara, Muhamad Marhan Mohd Jalil berhasrat mahu menempatkan diri dalam senarai 20 pemain terakhir untuk mewakili pasukan kebangsaan yang akan beraksi di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India pada 13- 29 Januari depan.

Marhan yang sebelum ini disisihkan daripada skuad kendalian Arul Selvaraj akibat kecederaan bagaimanapun tidak mahu terburu-buru sebaliknya mahu mencari semula rentak permainan yang sebenar selepas sebulan berehat.

"Saya dah bersedia. Jadi bila saya mula dengan pasukan saya, memang saya akan beri 100 peratus, untuk dapatkan balik saya punya tahap keyakinan l untuk ke Piala Dunia.

"Mungkin dari segi kecergasan saya perlu bekerja keras sebab saya dah terlepas dua kejohanan, jadi saya perlu mendapatkan rentak permainan saya sebelum ini," katanya.

Sebelum ini Muhamad Marhan mengalami kecederaan patah jari kaki kanan ketika aksi berdepan Perancis dalam siri perlawanan persahabatan Jelajah Belgium pada awal Oktober lalu.

Kecederaan itu menyaksikan pemain berusia 32 tahun itu terlepas dua kejohanan besar iaitu Piala Sultan Azlan Shah dan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sesi latihannya yang bermula hari ini, bekas kapten skuad The Speedy Tigers itu berkata ia perkembangan yang baik buatnya.

Katanya, prestasi kecergasannya antara kerisauannya memandangkan beliau sudah sebulan tidak membuat latihan di atas padang.

"Untuk latihan ini, dari segi teknikal juga saya perlu perkemaskan lagi," katanya.

Untuk rekod, skuad kebangsaan dijadual berlepas ke India pada 6 Januari untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:43 PM