PEMAIN hoki kebangsaan menjalani latihan di Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menghadapi Piala Dunia Hoki 2023. FOTO Asyraf Hamzah
PEMAIN hoki kebangsaan menjalani latihan di Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menghadapi Piala Dunia Hoki 2023. FOTO Asyraf Hamzah
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: "Kami sudah 90 peratus bersedia,"

Itu antara kata-kata yang diberikan pengendali skuad hoki negara, Arul Selvaraj yang tampak bersemangat untuk menghadapi saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, tahun depan.

Menurutnya baki 10 peratus persiapan skuad negara di kejohanan itu adalah bergantung kepada cara mereka menyesuaikan diri secara mental dan emosi ketika berada di sana.

"Saya rasa ketika ini skuad sudah 90 peratus bersedia untuk kejohanan. Lagi 10 peratus di sana yang mana pemain perlu cepat menyesuaikan dengan keadaan di sana.

"Ini termasuklah dengan keadaan cuaca di sana, makanan, mental dan emosi. Kalau boleh saya nak mereka cepat 'settle down'.

"Bagaimanapun saya tidak risau dengan perkara itu kerana ini bukanlah kali pertama mereka menghadapai situasi itu. Jadi saya harap mereka dapat sesuaikan diri," katanya ketika ditemui pada sesi latihan terakhir pasukan negara di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Arul memberitahu pada sesi latihan akhir itu beliau akan menumpukan kepada aspek pukulan sudut penalti dan bertahan.

Tambah Arul lagi, beliau turut mengakui kini boleh menarik sedikit nafas lega apabila pemain-pemain yang dibawa ke Piala Dunia kali ini bebas dari sebarang kecederaan dan cergas untuk diturunkan.

"Semua pemain ketika ini bersedia untuk bermain. Shello pun sudah mulakan latihan dan boleh pegang kayu, termasuklah Marhan dan Shahril yang sudah seminggu jalani latihan.

"Jadi saya boleh relaks sikit sebab hampir kesemuanya sudah boleh bermain kecuali dua orang pemain yang saya gugurkan sebelum ini seperti Nik Aiman dan Azraai,"ujarnya.

Pada kejohanan Piala Dunia itu, Malaysia yang berada di ranking ke-11 dunia, akan memulakan kempen dalam Kumpulan C berdepan juara tiga kali yang juga nombor tiga dunia, Belanda pada 14 Januari, diikuti Chile pada 16 Januari sebelum kembali ke Bhubaneswar berdepan kesembilan dunia, New Zealand pada 19 Januari.

Berdasarkan format kejohanan, juara kumpulan akan layak ke suku akhir manakala di tempat kedua dan ketiga akan bersaing dengan pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati dalam memburu slot ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 4:10 PM